KPDN Johor serbu stor haram, rampas 56,520 liter diesel

Stor haram menyimpan minyak diesel di Bukit Pasir, Muar diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Muar, pada Rabu. Foto KPDN Johor
Stor haram menyimpan minyak diesel di Bukit Pasir, Muar diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Muar, pada Rabu. Foto KPDN Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah stor haram tanpa lesen dan permit menyimpan minyak diesel di Bukit Pasir, Muar diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Muar pada Rabu.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan jam 4.30 petang itu dilakukan tiga penguat kuasa KPDN Cawangan Muar.

"Sebanyak 56,520 liter diesel dianggarkan bernilai RM121,518 dirampas. Turut dirampas, 20 unit tangki penyimpanan dan alat pemindahan minyak diesel, sebuah lori, sebuah treler, dan tujuh unit kunci lori dan treler.

"Keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah sehingga RM375,518," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Lilis Saslinda memberitahu dua lelaki warga tempatan yang bertindak sebagai pemandu lori dan seorang warga asing sebagai penjaga stor turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata, sekiranya disabitkan dengan kesalahan di bawah akta ini boleh dikenakan penalti iaitu bagi mana-mana orang perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan yang kedua pula boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua didenda tidak melebihi RM5 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, KPDN Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang kawalan ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!