X

Kindly register in order to view this article
!

2020 menuntut anjakan paradigma

A
A

SEMPENA kedatangan tahun 2020 ini, saya mengajak pembaca melakukan anjakan paradigma tindakan dan pemikiran kita.

Kebejatan dan kemunduran umat Islam ketika ini disebabkan kesilapan meletakkan keutamaan dalam sesuatu permasalahan. Anjakan paradigma bermula daripada diri kita sendiri sebelum dapat memperbetulkan orang lain.

Kita perlu beralih daripada perspektif konvensional kepada yang lebih baik lagi, beralih daripada mementingkan format dan simbol kepada hakikat dan kandungan.

Beralih daripada perdebatan yang mahu mementingkan kemenangan kepada diskusi membuahkan hasil.

Umat Islam juga perlu mengalihkan tumpuan daripada tidak habis-habis bercakap tentang masalah furuq kepada menumpukan penyelesaian masalah pokok.

Beralih daripada menyusahkan kepada memudahkan, sikap jumud dan taqlid buta kepada ijtihad dan pembaharuan, sikap eksklusif kepada inklusif, berlebihan kepada sederhana, berkeras kepada hikmah dan pertelingkahan kepada perpaduan serta pendamaian.

Anjakan paradigma dalam erti kata lain melakukan penghijrahan minda dan tindakan itu amat penting ke arah mengembalikan kecemerlangan umat Islam.

Penghijrahan adalah proses pembinaan tamadun sebagaimana qudwah melalui sejarah seperti yang kita semua sedia maklum iaitu penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan sahabat dari kota Makkah ke kota Madinah dalam usaha memartabatkan agama Islam. Akhirnya, Islam berkembang ke seantero dunia.

Islam mempraktikkan konsep syumul dan tidak terikat asalkan ia menepati kehendak syariat Islam. Sifat Islam yang fleksibel dalam kehidupan manusia menjadikan agama suci itu memberi ruang dan peluang kepada manusia mencapai kecemerlangan asalkan tidak menidakkan perintah ALLAH SWT.

Dalam konteks alam Melayu, Syamsul Alam MS dalam bukunya bertajuk Sistem Kebudayaan Melayu Tradisi dan Hubungannya dengan Konsep Islam untuk Pembangunan Sosioekonomi menjelaskan, faktor-faktor yang memundurkan peradaban Melayu kepada beberapa faktor terpenting seperti kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka di tangan Portugis, kejatuhan kuasa politik melemahkan ekonomi serta penguasaan dagangan orang Islam dan diganti dengan etnik Cina yang sehingga sekarang mendominasi aktiviti perniagaan rantau ini.

Minat, bakat dan keahlian masyarakat Melayu Islam dalam perdagangan merosot sementara sifat-sifat keusahawanan seperti kreatif, inovatif dan dinamik tidak lagi membudaya dalam kehidupan orang Melayu Islam di Malaysia.

Perubahan fundamental

Dalam konteks susur galur evolusi umat Melayu serantau, perubahan yang fundamental bermula daripada sektor perdagangan (zaman Kesultanan Melaka) kepada pertanian (zaman penjajahan) membawa impak besar kepada perubahan kebudayaan Melayu Islam.

Perkara itu dapat dilihat dari segi sikap, pandangan hidup orang Melayu itu sendiri.

Pergantungan kepada tanah, keengganan meninggalkan kampung halaman, mengamalkan hidup sederhana mencorak pola pemikiran dan sistem nilai masyarakat Melayu Islam.

Sifat tidak peka kepada ekonomi, sistem politik dan sosial juga perlukan kepada revolusi minda dan tindakan yang lebih berani serta berpandu untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan.

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa bangsa Melayu Islam begitu dimanjakan dengan kemewahan di tanah air ini.

Sudah tentu peradaban dan kecemerlangan sesebuah tamadun itu wahananya adalah ilmu.

Dengan ilmu, umat Islam mampu berfikir dengan terbuka dan lebih matang untuk melihat permasalahan yang melanda khususnya di Malaysia hari ini.

Jika umat Melayu Islam tidak mengkaji dan sambil lewa sahaja dalam membuat sesuatu keputusan, ia sememangnya akan merugikan umat Islam.

Ketirisan minda umat Islam itu akhirnya diambil kesempatan oleh musuh untuk menghancurkan Islam secara senyap mahupun terang-terangan.

Jika kita ingin membina sebuah rumah, mestilah ada asasnya seperti bahan mentah (pasir, simen, tiang dan batu bata) selain bahan-bahan lain.

Analogi itu saya garapkan dalam usaha membina asas kecemerlangan umat Islam iaitu ia mestilah dibentuk dengan adunan asas utama yakni ilmu, iman dan akhlak. Proses merealisasikan impian kejayaan Islam bermula daripada diri, ahli keluarga, masyarakat serta negara.

Mungkin sudah sampai masanya kita tidak lagi bergantung kepada orang politik bagi membangun negara.

Kuasa ketiga perlu ambil alih tanggungjawab ini.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia