Lelaki berusia 96 tahun jadi tetamu ALLAH

Sanadin Abdullah. Foto Agensi
Sanadin Abdullah. Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Seorang lelaki warga emas dari daerah Sumbawa, wilayah Nusa Tenggara Barat di Indonesia bakal menjadi jemaah haji tertua dari daerah itu pada tahun ini.

Sanadin Abdullah, 96, akan berangkat menunaikan haji pada 19 Mei ini.

Sanadin dikenali sebagai seorang yang kuat beribadat meskipun usianya hampir seabad, malah rutin hariannya adalah berjalan kaki ke masjid yang jaraknya kira-kira 150 meter dari rumahnya di Dusun Bahagia, Desa Lape, Sumbawa.

Bagi mempersiapkan diri bagi menunaikan ibadah haji, Sanadin mengakui sudah bertahun-tahun menabung sejak 2012.

"Alhamdulillah, akhirnya saya menjadi tetamu di rumah ALLAH. Saya tidak sabar untuk pergi menunaikan haji," katanya pada Rabu.

Bagaimanapun, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya kerana tidak dapat menunaikan haji bersama isteri.

"Isteri saya sudah meninggal dunia, jadi sedih kerana saya tidak dapat pergi haji bersama. Namun, saya tetap akan mendoakan isteri saya nanti di Baitullah," katanya.

Dalam pada itu, dia tidak dapat menahan sebak tatkala mengimbau kembali perjuangannya menabung selama berpuluh tahun untuk menunaikan haji.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, dia akan membuat simpanan khas untuk keperluan menunaikan haji setiap kali menuai padi di sawah dan menjual hasil buah kopi di kebunnya.

"Setiap kali menuai tanaman, saya memperuntukkan 1 juta Rupiah hingga 2 juta Rupiah (kira-kira RM292 hingga RM584) untuk simpanan haji," katanya yang turut dibantu oleh empat anaknya.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai persediaan kesihatannya sebelum pergi menunaikan haji, Sanadin berkata, rutin hariannya seperti berjalan kaki dari rumah ke sawah atau masjid akan melancarkan urusannya di Tanah Suci nanti.

Selain itu, dia juga mengambil makanan dan minuman yang sihat dan minum madu bagi mengekalkan keadaan kesihatannya.

"Cuaca Sumbawa agak panas sekarang. Kami juga mendapat maklumat mengenai cuaca di Arab Saudi yang panas sehingga 40 darjah.

"Insya-ALLAH saya sudah bersedia dan semoga saya sihat dan lancar ke rumah ALLAH," katanya. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!