Kepatuhan gaji minimum diketahui akhir Februari

M Kula Segaran - Foto Bernama
M Kula Segaran - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kepatuhan pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,200 sebulan hanya akan diketahui pada akhir Februari ini, kata Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.

Beliau berkata, ini kerana kadar berkenaan yang akan dilaksanakan di bandar utama di bawah pentadbiran 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran akan berkuat kuasa pada 1 Februari dan kepatuhan majikan hanya dapat diketahui pada akhir bulan iaitu semasa pembayaran gaji.

"Ia akan mula efektif pada 28 Februari atau 1 Mac iaitu pada hari pembayaran gaji nanti, jadi selepas itu baru kita tahu ia dipatuhi atau tidak," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Cahaya Ilmu: Bantuan Pendidikan Pelajar di Dewan Serbaguna Jabatan Belia dan Sukan negeri di sini hari ini.

Kula Segaran pada 13 Januari lepas berkata, gaji minimum RM1,200 akan dilaksanakan pada 1 Februari bagi pekerja di wilayah bandar utama bagi membantu mereka yang berdepan kos sara hidup yang tinggi manakala kadar gaji minimum kekal pada RM1,100 sebulan di kawasan selain wilayah bandar utama.

ARTIKEL BERKAITAN: Gaji minimum RM1,200 sebulan di 57 bandar utama

Berhubung program hari ini, beliau berkata, sebanyak 941 pelajar pelbagai peringkat umur daripada 452 keluarga di Perak menerima sumbangan bantuan kewangan membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM270,000.

Kula Segaran berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia itu merupakan usaha membantu meringankan beban pendidikan keluarga kurang berkemampuan selain menggalakkan mereka menabung dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

"Sumbangan kali ini berlainan daripada kebiasaan kerana kita tidak beri sepenuhnya wang sumbangan kepada keluarga atau pelajar sebaliknya sebahagian daripada wang sumbangan itu akan dimasukkan ke dalam akaun SSPN bagi menggalakkan mereka menabung," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kula Segaran menyarankan ibu bapa supaya menabung demi masa depan pendidikan anak-anak di samping memupuk nilai semangat berjimat seterusnya meningkatkan kesejahteraan keluarga dan memberi motivasi kepada pelajar untuk lebih cemerlang. - Bernama