Malaysia gesa PBB laksana tanggungjawab adil isu Palestin

Kematian melibatkan rakyat Gaza susulan serangan Israel semakin meningkat. Foto AFP (Gambar kecil: Dr Ahmad Faisal)
Kematian melibatkan rakyat Gaza susulan serangan Israel semakin meningkat. Foto AFP (Gambar kecil: Dr Ahmad Faisal)
A
A
A

SHAH ALAM - Kini sudah tiba masanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan kewajipan dan tanggungjawabnya serta menghasilkan penyelesaian yang adil kepada isu Palestin.

Wakil Tetap Malaysia ke PBB di New York, Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad berkata, rakyat Palestin juga berhak untuk hidup aman dan makmur.

"Kita tidak boleh lupa kebanyakan daripada kita di sini pernah berada di kedudukan mereka. Kta usah tunduk kepada tekanan mereka yang berusaha untuk menjejaskan keamanan di Timur Tengah.

"Justeru, untuk semua negara anggota bersatulah dalam menyokong usaha ke arah keamanan yang berkekalan di wilayah itu," katanya ketika berucap di Mesyuarat Pleno ke-51 pada Isnin yang disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube.

Tambah Ahmad Faisal, Malaysia bersedia untuk menjadi sebahagian daripadanya dan menyokong inisiatif yang bertujuan untuk merealisasikan hak rakyat Palestin yang tidak boleh dipisahkan untuk kebebasan dan penentuan nasib sendiri.

Dalam pada itu, tegas beliau, negara yang belum nyatakan pendirian berhubung status Palestin digesa supaya segera mengiktiraf kedudukan wilayah itu sebagai anggota organisasi PBB.

Menurutnya, tindakan itu susulan kerana komitmen Palestin yang secara berterusan dan memenuhi syarat keahlian seperti dinyatakan dalam artikel empat Piagam PBB.

"Palestin terus dinafikan hak mereka untuk kenegaraan sebaliknya Israel telah diterima sebagai ahli penuh pada 1949. Sejak itu dunia menyaksikan pertumpahan darah di Tanah Palestin selama tujuh dekad, Israel yang kejam dan tidak berperikemanusiaan merampas hak milik serta maruah rakyat Palestin.

Artikel Berkaitan:

"Kekejaman yang masih berlaku hingga kini menyebabkan lebih 35,000 kematian telah direkodkan. Kira-kira 70 peratus daripadanya lelaki, hampir 15,000 kanak-kanak dan 10,000 wanita terbunuh.

Jelas Ahmad Faisal, penemuan kubur besar di Hospital Al-Shifa dan Nasser sangat berkaitan dengan jumlah kematian di kalangan pekerja kesihatan dan kakitangan media juga telah mencapai rekod baru.

Kata beliau, kemusnahan infrastruktur awam termasuk hospital, sekolah dan premis tidak pernah berlaku sebelum ini dan keadaan kemanusiaan bencana penduduknya benar-benar mengerikan.

"Pembunuhan beramai-ramai di Gaza mesti menghentikan, masyarakat antarabangsa mesti menuntut proses akauntabiliti yang betul bermula dengan penyiasatan antarabangsa yang menyeluruh dan bebas terhadap semua pelanggaran undang-undang antarabangsa termasuk kemungkinan tindakan jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

"Isu Palestin mesti diselesaikan, keadilan dan penentuan nasib rakyat Palestin patut ditegakkan serta negara Palestin yang berdaulat sepenuhnya mesti diiktiraf," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!