Seksyen 7 WCE jangka siap sepenuhnya Mac 2026

Alexander (dua dari kiri) meninjau pelaksanaan projek lebuh raya di Seksyen 7 WCE di Persimpangan Assam Jawa - Tanjong Karang pada Khamis.
Alexander (dua dari kiri) meninjau pelaksanaan projek lebuh raya di Seksyen 7 WCE di Persimpangan Assam Jawa - Tanjong Karang pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kemajuan projek Seksyen 7, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Jajaran Tanjong Karang-Assam Jawa berada pada tahap 71 peratus dan dijangka siap pada Mac 2026.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembinaan jajaran itu melibatkan dua bahagian iaitu Seksyen 7A dan Seksyen 7B

"Sehingga April ini, kemajuan kerja membabitkan Seksyen 7A sepanjang 19.5 km (kilometer) bermula dari persimpangan Assam Jawa ke Ladang Sungai Terap telah mencapai 91 peratus.

"Seksyen 7B pula dari Ladang Sungai Terap ke Persimpangan Bertingkat Tanjong Karang dengan penetapan jarak 10 km pula sudah mencapai 44 peratus," katanya ketika ditemui selepas meninjau pelaksanaan projek lebuh raya di Seksyen 7 WCE di Persimpangan Assam Jawa - Tanjong Karang di sini pada Khamis.

Pelan Jajaran Seksyen 7 WCE di Persimpangan Assam Jawa - Tanjong Karang.
Pelan Jajaran Seksyen 7 WCE di Persimpangan Assam Jawa - Tanjong Karang.

Alexander memberitahu, pembukaan jajaran itu memudahkan perjalanan pengguna yang terpaksa menempuh kesesakan terutama pada hujung minggu dan musim perayaan.

Katanya, Seksyen 7 sepanjang 29.5 km itu mampu menjimatkan masa perjalanan sehingga sejam berbanding Jalan Persekutuan sedia ada.

"Selain itu, ia membantu mengurangkan kepadatan jumlah kenderaan di PLUS (Lebuhraya Utara Selatan) dengan menjadikan jajaran itu sebagai laluan alternatif," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, kerajaan kekal komited membina infrastruktur selesa dan selamat selain meredakan keresahan rakyat yang berdepan kesesakan teruk di laluan Tanjong Karang - Kuala Selangor.

Beliau turut mengakui projek jajaran itu menghadapi masalah struktur tanah gambut, namun pihaknya yakin pembinaannya disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

"Tanah di lokasi pembinaan ini agak lembut dan memerlukan kerja tambakan secara berperingkat, tetapi ia tidak menjadi masalah besar dan kesukaran itu dapat ditangani secara inklusif," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!