KPDN rampas 153 cermin hadapan kenderaan disyaki tiruan

KPDN merampas 153 cermin hadapan kenderaan disyaki tiruan menerusi serbuan ke atas empat premis di Petaling Jaya dan Kepong pada 9 Mei lepas.(Gambar hiasan) Foto 123rf
KPDN merampas 153 cermin hadapan kenderaan disyaki tiruan menerusi serbuan ke atas empat premis di Petaling Jaya dan Kepong pada 9 Mei lepas.(Gambar hiasan) Foto 123rf
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 153 cermin hadapan kenderaan disyaki tiruan menerusi serbuan ke atas empat premis di Petaling Jaya dan Kepong pada 9 Mei lepas.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam dalam kenyataan pada Selasa berkata, serbuan dilakukan hasil aduan yang diterima daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar serta risikan awal pihak KPDN.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis terbabit (tiga di Petaling Jaya, satu di Kepong) telah menemukan 153 keping cermin hadapan kenderaan disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815),” katanya.

Menurut Azman, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM140,200 manakala kesemua cermin hadapan kenderaan itu bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan.

Susulan itu, KPDN menahan dua lelaki warga tempatan masing-masing berumur 20 dan 31 tahun yang mengaku bertanggungjawab ke atas premis terbabit kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta 815.

Azman memberi peringatan dan amaran kepada pihak berkaitan agar tidak melakukan aktiviti menjual barangan, khususnya alat ganti kenderaan, yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah kerana boleh mengancam keselamatan pengguna.

Orang ramai turut diingatkan agar tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan sedemikian, katanya. - Bernama


Polis tumpas kegiatan proses arak tiruan, rampasan lebih setengah juta ringgit

Artikel Berkaitan:

Sementara itu di JOHOR BAHRU, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menumpaskan kegiatan memproses dan menyimpan minuman keras tiruan dengan nilai rampasan RM508,265 selepas menyerbu sebuah kilang di Kampung Batu 34, Jalan Johor dekat Pontian pada Isnin.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, dalam serbuan 1 pagi itu, empat lelaki warga asing tanpa dokumen pengenalan diri, berusia antara 27 hingga 42 tahun, dipercayai pekerja di premis tersebut turut ditahan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya menemukan 187 kotak minuman keras dan tiga tong plastik berisi cecair alkohol.

"Serbuan dilakukan Unit Risik Marin (URM) PPM Wilayah Dua Tampoi hasil maklumat orang awam dan intipan selama seminggu.

"Hasil pemeriksaan turut menemukan peralatan memproses dan mengisi minuman keras termasuk empat mesin penutup botol, lima pam elektrik berserta hos, dua bungkus pelekat sebuah jenama minuman keras dan dua kotak penutup botol dengan pelekat ‘duty paid’ kastam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, secara keseluruhan, 1,683 liter alkohol dirampas dalam serbuan itu selain sebuah kereta jenis Toyota Estima disita.

Kumar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Memperbaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti penjualan arak tidak bercukai dan pemprosesan minuman keras tiruan.

Masyarakat juga digesa untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis mengenai sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang demi keselamatan dan ketenteraman awam. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!