[VIDEO] Penyelia tapak didenda RM3,500 ugut, cederakan teman lelaki bekas isteri

A
A
A

TAMPIN - Penyelia tapak didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah mengugut dan mencederakan teman lelaki bekas isterinya minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Saiful Amiruurashid Md Azhar,29 membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran dan turut berdepan sembilan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh telah menakutkan secara jenayah terhadap seorang lelaki berusia 26 tahun dengan cara mengacu dan membaling sebatang cangkul ke arahnya.

Penyelia tapak (dua dari kanan) didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Tampin pada Isnin, selepas mengaku bersalah mengugut dan mencederakan teman lelaki bekas isterinya minggu lalu.
Penyelia tapak (dua dari kanan) didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Tampin pada Isnin, selepas mengaku bersalah mengugut dan mencederakan teman lelaki bekas isterinya minggu lalu.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 8 Mei lalu, jam lebih kurang jam 10.30 malam di hadapan sebuah rumah di Taman Pedas Indah di Rembau.

Sehubungan itu,tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai tujuh tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman denda RM2,500 dan sekiranya gagal bayar, dia berdepan hukuman penjara sembilan bulan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didenda RM1,000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut kerana dengan sengaja menyebabkan cedera kepada individu sama dengan cara menumbuk di bahagian telinga mangsa pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai setahun, atau dengan denda yang boleh sampai dua ribu ringgit, atau dengan kedua-duanya,jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Syuhada Mohd Isa.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pengadu menemani teman wanitanya iaitu bekas isteri tertuduh ke kediaman tertuduh untuk menghantar barang keperluan anak.

Sebaik tiba di lokasi, tertuduh tiba-tiba datang dan menumbuk kepala pengadu tanpa sebab sehingga menyebabkan kecederaan terhadap pengadu. Tertuduh turut mengacu dan membaling sebatang cangkul ke arah kereta pengadu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!