Suami jadi bidan terjun, sambut kelahiran anak dalam kereta

Gambar yang dikongsikan Nur Amira ketika berada di salah sebuah hospital swasta di Johor Bahru.
Gambar yang dikongsikan Nur Amira ketika berada di salah sebuah hospital swasta di Johor Bahru.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang wanita berdepan detik cemas apabila terpaksa melahirkan bayinya di dalam kereta tanpa sebarang pengawasan perubatan.

Wanita itu, Nurul Amira Jeffri berkata, ia menjadi pengalaman tidak akan dilupakan lebih-lebih lagi apabila suaminya, Muhamad Fauzi Azmi, 30, menjadi bidan terjun untuk menyambut cahaya mata mereka yang kedua itu.

“Kejadian berlaku pada 3 Mei lalu yang mana saya mengalami kontraksi sekitar jam 3 hingga 4 pagi tetapi sakit yang masih boleh ditahan dan akhirnya saya kejut suami pada jam 4.30 pagi untuk pergi ke hospital kerajaan yang berdekatan.

“Rumah saya berada di tingkat 28 dan semasa menuju ke lif untuk ke tempat parkir kereta di tingkat lima, tiba-tiba air ketuban pecah dan saya tidak dapat bergerak kerana kontraksi yang sangat kuat membuatkan saya ingin meneran,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Menurut wanita berusia 29 tahun itu, situasi tersebut membuatkan dia dan suaminya berasa panik malah tidak dapat membuat keputusan yang wajar.

Wanita yang berasal dari Johor Bahru itu berkata, dia terus sahaja meneran ketika di dalam lif kerana tidak dapat menahan kesakitan yang dialami membuatkan kepala bayi terkeluar, namun berjaya ditahan dari terjatuh.

“Kami panik kerana kejadian berlaku awal pagi dan memang tiada orang yang boleh bantu. Suami tidak dapat dukung kerana perlu menekan dan menahan lif selain membawa barang-barang.

“Jadi, saya terpaksa juga jalan perlahan-lahan. Masuk sahaja dalam lif, saya teran sehingga kepala bayi sudah terkeluar. Suami minta saya bertahan kerana risaukan keadaan saya dan juga bayi terjatuh kalau saya terus teran.

Artikel Berkaitan:

“Saya terpaksa kepit dan apabila masuk sahaja dalam kereta, saya terus teran. Suami sambut bayi kami walaupun dia seorang yang takutkan darah,” ujarnya.

Tambah Nur Amira, dia bersyukur selamat melahirkan anak keduanya itu dengan berat 3.18 kilogram (kg) walaupun dalam suasana yang huru-hara.

“Pada awalnya kami merancang untuk ke hospital kerajaan tetapi memikirkan keadaan ketika itu yang memang sudah panik, kami pergi ke hospital swasta sahaja kerana bersebelahan dengan rumah.

“Alhamdulillah, semuanya selamat dan bayi juga sihat,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!