Lelaki didenda palsukan maklumat sijil kelahiran anak angkat

Swee Theng dibawa ke Mahkamah Majistret pada Rabu.
Swee Theng dibawa ke Mahkamah Majistret pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Demi mendapat mendapatkan sijil kelahiran untuk anak angkat, seorang lelaki sanggup mengemukakan maklumat palsu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), 17 tahun lalu.

Lee Swee Theng, 59, yang dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, kemudiannya didenda sebanyak RM2,500 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Illi Marisqa Khalizan.

Mahkamah memerintahkan dia dipenjarakan selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Swee Theng didakwa sengaja mengemukakan maklumat palsu iaitu mengisi ruangan pertalian sebagai bapa bagi pendaftaran kelahiran anak angkat lelakinya, di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara Kuala Lumpur pada jam 11.36 pagi, 26 Disember 2007.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ernie Ahmad yang mewakili tertuduh, merayu anak guamnya tidak dikenakan hukuman penjara, memadai denda yang minimum.

Menurutnya, Swee Theng bekerja sendiri dengan pendapatan sebanyak RM500 sebulan, merupakan penanggung tunggal keluarga.

“Isterinya mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis yang memerlukan insulin dan dialisis.

Artikel Berkaitan:

“Dia amat kesal dengan perbuatan yang dilakukan pada 17 tahun lalu dan memohon maaf atas kekhilafan yang dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JPN Perak, Mohamad Salleh Jaafar Sidek memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

“Tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang serius dengan memalsukan dokumen.

“Ia juga melibatkan kes untuk mendapatkan kewarganegaraan maka ini merupakan isu keselamatan negara,” katanya.

Mengikut fakta kes, ketika hari kejadian 17 tahun lalu, tertuduh hadir ke kaunter JPN Kuala Lumpur untuk mendaftarkan sijil kelahiran anak dengan mengemukakan beberapa dokumen sokongan antaranya MyKad tertuduh dan isteri, sijil perkahwinan serta surat pengesahan kelahiran.

Permohonan tersebut kemudian diterima oleh pihak kaunter untuk diproses dan telah dikeluarkan sijil kelahiran atas nama kanak-kanak berkenaan.

Kemudian pada 9 Disember 2019, tertuduh hadir bersama seorang kanak-kanak lelaki untuk memohon kad pengenalan selepas anak itu berusia 12 tahun di JPN Kampar, Perak.

Bagaimanapun, semasa permohonan kad pengenalan diproses, semakan pegawai kaunter mendapati perbezaan warna kulit yang ketara di antara mereka berdua.

Hasil siasatan mendapati tertuduh mengaku bahawa kanak-kanak berkenaan bukanlah anak kandungnya sebaliknya, diambil daripada seorang wanita yang hanya dikenali dengan panggilan ‘Ah Song’.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!