X

Kindly register in order to view this article
!

Kelantan pertonton Mak Yong patuh syariah kepada pemimpin

Pelakon bergambar bersama selepas persembahan tamat.
A
A

KOTA BHARU - Buat julung kalinya kerajaan Kelantan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan (JKKN) mempertontonkan pementasan Mak Yong versi baharu (Pak Yong) di Kompleks Jabatan Kesenian, Kebudayaan Negeri Kelantan di sini Khamis lalu.

Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Mejar Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, ia dipersembahkan kepada pemimpin rakyat pelbagai peringkat iaitu Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), penyelia Parlimen dan DUN di seluruh negeri.

"Mak Yong yang dipersembahkan ini dilakukan beberapa penambahbaikan dan patuh syariah dengan mengetengahkan pelakon lelaki, penceritaan rakyat dengan unsur nasihat serta elemen kesenian yang menggambarkan kebudayaan Kelantan.

"Ia juga tidak melibatkan unsur pemujaan dan apa yang saya lihat ia mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan. Sebelum ini, pementasan sama turut dipersembahkan kepada Jabatan Mufti Negeri," katanya.

Sementara itu, Exco Pembangunan Insan, Pendidikan,Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan yang turut menghadiri pementasan tersebut berkata, beliau juga bersetuju Mak Yong dipersembahkan memandangkan tidak melanggar syarat-syarat enakmen hiburan negeri ditetapkan.

Fadzli berkata, Mak Yong adalah warisan rakyat Kelantan dan cerita yang dipersembahkan dalam Mak Yong banyak berkisar mengenai raja, istana dan rakyat.

"Mak Yong itu sendiri pun hiburan istana dan sangat dekat di hati rakyat Kelantan suatu ketika dahulu. Ia menunjukkan betapa akrabnya hubungan antara raja dan rakyat.

"Itulah keistimewaan istana dan rakyat Kelantan. Oleh kerana ada unsur yang dikira tidak serasi dengan syariah, maka sedikit penyesuaian perlu dilakukan," katanya.

Menurutnya, daripada Mak Yong ditiadakan terus adalah lebih baik medium itu digunakan untuk menyampaikan mesej baik, nilai agama dan tatasusila yang murni kepada rakyat.

"Selain dapat memelihara seni warisan rakyat Kelantan, kita juga dapat variasikan hiburan untuk dipersembahkan kepada generasi baru dan juga pelancong luar.

"Selain itu Mak Yong juga masih ada peminatnya yang tersendiri. Apabila ia sudah patuh syariah, saya mengalu-alukannya," katanya.