Wanita dipaksa jalani ujian kehamilan sebelum naik pesawat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

HONG KONG - Sebuah syarikat penerbangan Hong Kong memaksa seorang wanita menjalani ujian kehamilan sebelum membenarkannya menaiki pesawat ke pulau Pasifik, iaitu lokasi terkenal dengan tindakan si ibu memohon warganegara Amerika Syarikat (AS) untuk bayi mereka.

Midori Nishida, 25, turut diiringi ke tandas awam di lapangan terbang sebelum mendapat kebenaran menaiki penerbangan Hong Kong Express ke Saipan di Kepulauan Mariana Utara dekat wilayah AS.

Dalam borang kaji selidik di pintu masuk, Nishida telah memberitahu bahawa dia tidak hamil, namun kakitangan syarikat penerbangan bertegas mahu dia menjalani penilaian boleh menaiki pesawat (fit-to-fly) yang direka untuk wanita dengan saiz badan atau bentuk menyerupai wanita hamil.

Hasil keputusan adalah negatif.

"Ia sangat memalukan dan mengecewakan," katanya kepada Wall Street Journal.

Difahamkan, Nishida membesar di Saipan dan keluarganya telah tinggal di pulau tersebut sejak lebih 20 tahun lalu.

Susulan kejadian itu, syarikat penerbangan telah meminta maaf kepada mangsa dan memberitahu amalan berkenaan telah dihentikan.

"Kami telah menggantung amalan itu selepas melakukan semakan semula. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi," kata syarikat dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Menurut Hong Kong Express, ia mula mengambil tindakan terhadap penerbangan ke Saipan pada Februari tahun lalu untuk membantu memastikan undang-undang imigresen AS tidak terjejas.

Ia adalah sebagai tindak balas kepada kebimbangan yang dibangkitkan pihak berkuasa pulau terbabit. - AFP