Gaji minimum RM2,102 rugikan majikan?

Semua pihak boleh mencadangkan berhubung isu gaji minimum demi kebaikan rakyat dan negara, akan tetapi perlu seimbang juga dengan untung rugi bisnes majikan. Gambar hiasan 123RF
Semua pihak boleh mencadangkan berhubung isu gaji minimum demi kebaikan rakyat dan negara, akan tetapi perlu seimbang juga dengan untung rugi bisnes majikan. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

Genap dua tahun pekerja di Malaysia menikmati penetapan kadar gaji minimum pada nilai RM1,500 sebulan sejak 1 Mei 2022.

Bagaimanapun terbaharu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mencadangkan kerajaan supaya menetapkan kadar gaji minimum pada RM2,102 sebulan.

Memang amat menarik bunyinya dan jika ia berjaya dilaksanakan, pasti akan dapat meringankan beban rakyat negara ini secara lebih signifikan.

Pada peringkat ini, kajian tuntas wajar dilakukan kerajaan kerana sebelum ini, Bank Negara Malaysia pernah mencadangkan gaji minimum yang lebih tinggi iaitu RM2,700 sebulan.

Namun persoalannya, apakah semua pihak mampu mengikut cadangan tersebut? Persoalan lain yang perlu juga difikirkan ialah sekiranya penetapan gaji ini dibuat, adakah ia bakal menguntungkan sebelah pihak sahaja iaitu golongan pekerja, atau majikan turut mendapat manfaat?

Memang tidak dapat dinafikan, penduduk metropolitan seperti Kuala Lumpur dan bandar utama lain berdepan dengan cabaran peningkatan kos sara hidup yang sangat tinggi sehingga amat membebankan, namun bagaimana pula dengan bebanan yang ditanggung oleh majikan?

Semua pihak boleh mencadangkan demi kebaikan rakyat dan negara, akan tetapi perlu seimbang juga dengan untung rugi bisnes majikan.

Dalam perkembangan mutakhir ini, bukan mudah untuk sesebuah entiti perniagaan mengekalkan kelangsungan, namun itu tidak bermakna hak pekerja boleh dinafikan sewenangnya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai sebuah organisasi, mereka harus melihat lebih jauh iaitu bukan hanya untuk jangka pendek, tetapi juga jangka panjang.

Realiti yang berlaku hari ini adalah kenaikan harga barang keperluan yang amat mendadak, inilah perkara asas yang mesti diselesaikan oleh kerajaan sebelum bercakap soal kenaikan gaji minimum.

Situasi yang terjadi sekarang adalah ibarat teori domino yang mempunyai kesan berantai, pendapatan naik hari ini tetapi harga barang juga akan meningkat sama.

Dilema di pihak majikan pula, bagaimana mereka hendak menaikkan gaji pekerja jika pendapatan syarikat tetap sama atau lebih teruk, menurun.

Inilah hakikat yang perlu dilalui pekerja dan ditangani kerajaan. Bantu salah, tak bantu salah. Carilah jalan penyelesaian secara berhemah, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!