KPDN sita 94 unit tong gas dalam serbuan stor haram

Sebanyak 94 unit tong gas pelbagai jenama berkapasiti 14 kilogram (kg) dan 12kg, sebuah lori dan beberapa dokumen perniagaan lain disita KPDN.
Sebanyak 94 unit tong gas pelbagai jenama berkapasiti 14 kilogram (kg) dan 12kg, sebuah lori dan beberapa dokumen perniagaan lain disita KPDN.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 94 unit tong gas pelbagai jenama berkapasiti 14 kilogram (kg) dan 12kg, sebuah lori dan beberapa dokumen perniagaan lain disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sitaan barangan terbabit dilakukan dalam serbuan di sebuah premis di Kawasan Perusahaan Sungai Lalang, Sungai Petani, Kedah yang disyaki dijadikan stor haram tempat menyimpan dan mengedar gas petroleum cecair (LPG) pada 5 Mei lalu.

Menurutnya, serbuan dibuat selepas menerima aduan daripada orang awam mengenai berat isipadu gas yang disyaki kurang daripada berat yang sepatutnya.

“Pemeriksaan ke atas premis tersebut mendapati sebanyak 675 unit tong gas yang berisi dengan tong kosong pelbagai jenama ditemui di dalam dua buah lori dan rak yang berada di dalam stor itu.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM23,000 dan seorang lelaki warga tempatan yang juga pemilik premis berkenaan ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan awal, premis itu tidak mempunyai lesen borong atau runcit yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, syarikat berkenaan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram.

Ujarnya, ia bertujuan untuk mengesan, membeku, menyita dan sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan gas petroleum cecair itu.

Artikel Berkaitan:

“Jika disabitkan kesalahan di bawah Akta 613 ini, mereka boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram itu,” jelasnya.

Selain itu, Armizan menegaskan mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan.

Tambahnya, mereka yang melakukan kesalahan tersebut boleh diambil tindakan di bawah Akta 122 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 000

“Bagi kesalahan berikutnya tidak melebih RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala kesalahan berikutnya tidak melebih RM5 juta,” tambahnya.

Menurut Armizan, KPDN memberikan peringatan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi termasuk menjual gas LPG tanpa lesen sah.

Tegasnya, tindakan akan diambil termasuk mendakwa di Mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan AMLATFPUAA 2001.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!