466kg minyak masak subsidi, 13 tong gas LPG dirampas di Kulim

Antara minyak masak peket bersubsidi dan tong gas LPG yang dirampas dalam serbuan di dua premis di Kulim pada Ahad.
Antara minyak masak peket bersubsidi dan tong gas LPG yang dirampas dalam serbuan di dua premis di Kulim pada Ahad.
A
A
A

KULIM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah merampas sebanyak 466 kilogram minyak masak peket bersubsidi 1 kilogram (kg) dan 13 tong gas petroleum cecair (LPG) dalam serbuan di dua premis di sini pada Ahad.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, serbuan tersebut dilakukan bermula jam 2 petang dengan kekuatan seramai lima orang anggota penguat kuasa KPDN Kulim.

Katanya, pemeriksaan di premis pertama yang merupakan sebuah kedai runcit menjual barangan keperluan harian mendapati premis mempunyai lesen runcit yang masih sah bagi menjual barang kawalan berjadual iaitu gula, minyak masak dan tepung gandum (GMT) dengan had simpanan lesen runcit bagi minyak masak adalah 1,000kg.

"Kemudiannya pemeriksaan lanjut telah dijalankan di premis bersebelahan yang juga dimiliki oleh pemilik yang sama.

"Hasil pemeriksaan menjumpai sebanyak 370 peket 1kg minyak masak bersubsidi di premis tersebut yang tidak dinyatakan dalam lesen runcit terdahulu sebagai tempat penyimpanan barang kawalan," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, KPDN bertindak menyita minyak masak bersubsidi terbabit untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memindahkan barang kawalan iaitu minyak masak dari premis yang dilesenkan.

"kemudian KPDN membuat satu lagi serbuan berasingan di sebuah premis perniagaan restoran dan katering yang juga dimiliki oleh pemilik kedai runcit tersebut.

" Hasilnya kita berjaya menemui minyak masak peket 1kg bersubsidi sebanyak 96kg dan gas petroleum cecair sebanyak 13 tong yang bersamaan 182kg," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Affendi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Pasukan serbuan telah bertindak menyita kesemua barang yang terdapat di premis terbabit dan kes disiasat bawah Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 iaitu tidak memiliki permit kebenaran untuk menyimpan barang kawalan berjadual melebihi had yang ditetapkan," katanya.

Jelasnya, nilai rampasan kesemua minyak masak peket 1kg bersubsidi dan gas petroleum cecair di kedua-dua premis terbabit dianggarkan berjumlah RM1,510.80.

"KPDN juga menasihatkan peniaga yang menggunakan dan menyimpan barang kawalan berjadual terutamanya minyak masak dan gas petroleum cecair bagi kegunaan perniagaan seperti memproses makanan dan sebagainya perlu mendapatkan permit kebenaran menyimpan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas oleh KPDN," katanya.