Farhan idam Piala Dunia selepas lebih 15 tahun dalam skuad kebangsaan

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim (empat dari kanan) memakaikan lilitan ketua pasukan kepada Farhan Adam (enam dari kanan) pada Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Sepak Takraw Malaysia bagi Piala Dunia Persekutuan Sepak takraw Antarabangsa (ISTAF) Sepak takraw 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam tadi. Turut serta Presiden Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan (enam dari kiri). Foto Bernama
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim (empat dari kanan) memakaikan lilitan ketua pasukan kepada Farhan Adam (enam dari kanan) pada Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Sepak Takraw Malaysia bagi Piala Dunia Persekutuan Sepak takraw Antarabangsa (ISTAF) Sepak takraw 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam tadi. Turut serta Presiden Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan (enam dari kiri). Foto Bernama
A
A
A

SELEPAS lebih 15 tahun berada dalam skuad kebangsaan, Farhan Adam atau lebih mesra dengan panggilan Emon memasang impian besar untuk menjulang Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di hadapan peminat tanah air sebagai kapten pasukan sepak takraw negara.

Atlet berusia 35 tahun yang bermain di posisi pengumpan itu berkongsi beliau hanya akan memikirkan tentang persaraan sekiranya dapat menumpaskan musuh tradisi, Thailand di pentas antarabangsa terutamanya menerusi acara berpasukan.

"(Macam dalam) bola sepak (ada) Piala Dunia dan sepak takraw pun ada. Bagi saya (dengan umur sekarang) tidak tahu lagi bila (boleh menang), mungkin empat atau dua tahun lagi (dan ketika itu) umur saya sudah berapa.

"Memang saya perlukan perkara itu (julang Piala Dunia) untuk masuk dalam diari. Saya nak tanda (senarai impian) Piala Dunia (dan) tambah dalam koleksi saya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Malaysia bagi kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di sini malam Rabu.

Farhan yang akan mengambil bahagian dalam dua daripada tiga acara dipertandingkan iaitu berpasukan dan regu berkata, sasaran final ditetapkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) ialah satu kemestian untuk dilunaskan skuad negara dengan sebaiknya.

Kehadiran beberapa muka baharu pastinya akan menghangatkan perjuangan Malaysia dengan jurang prestasi mereka tidak terlampau jauh dengan pemain senior dan dapat mengimbangi rentak permainan negara terutamanya dalam acara regu.

"Kalau ikutkan jadual memang dapat mengelak bertemu Thailand dari peringkat awal dan kami ialah tuan rumah jadi kena pastikanlah penyokong yang datang tidak hampa dengan permainan kami,” katanya sambil menyifatkan kekuatan itu hadir menerusi gabungan pemain, jurulatih dan pihak persatuan yang tanpa lelah memberi sokongan antara satu sama lain.

Farhan merupakan satu daripada watak penting ketika Malaysia menamatkan kemarau emas selama 24 tahun menerusi acara regu dengan menumbangkan pasukan tuan rumah Indonesia 2-1, pada final temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 21 negara akan berentap dalam kejohanan dunia yang bakal berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini pada 18 hingga 26 Mei, dengan 12 negara bersaing dalam kategori Premier termasuk Malaysia, manakala sembilan negara berentap dalam Divisyen 1 dibarisi antaranya Iran, Jerman, Arab Saudi dan Pakistan.

Dalam saingan berpasukan yang merupakan acara tumpuan, skuad sepak takraw negara diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Jepun dan Brunei, dan Malaysia perlu sekurang-kurangnya muncul naib juara kumpulan untuk layak ke suku akhir.

Bagi kategori regu pula, Malaysia sekali lagi mendapat laluan mudah apabila diundi bersama China dan Brunei dalam Kumpulan B, manakala saingan double menyaksikan skuad kebangsaan berada dalam Kumpulan A bersama Jepun dan Brunei. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!