[VIDEO] Sultan Sharafuddin perkenan Selangor FC tak hadir Piala Sumbangsih

A
A
A

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan dan menyokong sepenuhnya keputusan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 10 Mei ini.

Sultan Sharafuddin yang juga penaung Selangor FC turut menzahirkan rasa kecewa kerana Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak permohonan skuad Gergasi Merah supaya menangguhkan perlawanan berkenaan.

Baginda berpandangan, susulan beberapa insiden mengancam nyawa yang melibatkan pemain termasuk Faisal Halim dan pegawai baru-baru ini, adalah bertepatan untuk Selangor FC tidak menyertai perlawanan berkenaan yang juga merupakan aksi pertama Liga Super 2024/25.

"Keutamaan ketika ini adalah nyawa serta keselamatan para pemain dan bukannya untuk memenangi piala berkenaan.

"Ia bukan sahaja isu keselamatan, keadaan moral pasukan yang masih terganggu dan terkesan dengan insiden simbah asid yang melibatkan pemain sayap, Faisal Halim juga harus diambil kira," titah baginda menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Sultan Sharafuddin memberi perkenan dan menyokong sepenuhnya keputusan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 menentang JDTdi Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri esok. Foto FB Selangor Royal Office
Sultan Sharafuddin memberi perkenan dan menyokong sepenuhnya keputusan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 menentang JDTdi Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri esok. Foto FB Selangor Royal Office

Selangor FC sebelum ini memohon MFL menunda Piala Sumbangsih atas alasan keselamatan susulan insiden simbah asid ke atas Faisal selain ugutan yang diterima oleh beberapa orang pengurusan kelab itu.

MFL bagaimanapun menolak permohonan tersebut sekali gus menyebabkan Selangor FC memutuskan untuk menarik diri mengambil kira insiden jenayah serta ancaman yang melibatkan berapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh 72 jam.

Artikel Berkaitan:

Sultan Sharafuddin turut menyokong solidariti untuk membanteras keganasan sukan dalam apa jua bentuk #standwithfaisalhalim #stoptheviolence

Malah baginda juga mahu semua pihak memahami bahawa tahap keseriusan insiden yang melibatkan nyawa pemain sebegini adalah tidak sama dengan kes-kes sebelum ini, apatah lagi ia berlaku sangat hampir dengan tarikh perlawanan.

Baginda turut menegaskan bahawa Selangor FC sedia berdepan dengan apa jua tindakan susulan daripada keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan tersebut.

Susulan penarikan diri itu, JDT yang kecewa dengan keputusan itu berharap Selangor FC dapat mempertimbangkan semula keputusan tersebut kerana polis telah memberikan jaminan keselamatan pasukan, pemain dan penyokong pada hari perlawanan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!