Geran KBS: Kerajaan negeri, MBI, Perak FC duduk bincang

Stadium Perak merupakan venue rasmi kepada Perak FC dalam mengharungi saingan Liga-M musim lalu. Foto Perak Football Club
Stadium Perak merupakan venue rasmi kepada Perak FC dalam mengharungi saingan Liga-M musim lalu. Foto Perak Football Club
A
A
A

KERAJAAN negeri akan mengadakan perbincangan segera dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Perak FC berhubung tawaran geran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menaik taraf sistem saliran serta penanaman rumput baharu di Stadium Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, perbincangan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi memastikan kerja naik taraf mewujudkan situasi menang-menang bagi semua pihak.

“Stadium Perak kepunyaan MBI manakala pasukan Perak FC yang bersaing dalam Liga Super dimiliki oleh entiti berlainan dan kita mahu duduk semeja untuk pastikan naik taraf ini memuaskan hati semua pihak agar tiada isu berbangkit.

“Kita mahu semua pihak beri pandangan masing-masing kerana Perak FC selaku pengguna utama mempunyai kehendak dan impian dalam memastikan Stadium Perak mempunyai kualiti padang yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin berkata, paling utama daripada geran yang ditawarkan KBS itu ialah penggantian sistem saliran padang sesebuah stadium untuk berfungsi secara maksimum.

Bobie Farid juga mencadangkan penggunaan rumput jenis Bermuda yang lebih murah sedikit kos penyelenggaraannya seperti di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum ini menyatakan kesediaan kerajaan negeri menerima geran KBS dalam usaha kementerian itu menyediakan kualiti padang yang lebih baik untuk memastikan Liga Malaysia (Liga-M) kekal kompetitif.

KBS melalui Menterinya, Hannah Yeoh dilapor menawarkan RM7 juta menerusi geran untuk meningkatkan kualiti padang di stadium setiap negeri sebagai persediaan musim Liga-M 2024/25.

Artikel Berkaitan:

Geran RM500,000 ditawarkan kepada semua 14 negeri termasuk Wilayah Persekutuan untuk kerja-kerja naik taraf sistem saliran dengan kos RM300,000 manakala RM200,000 lagi untuk menanam rumput baharu selain Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah memberikan bantuan kewangan RM300,000 setahun bagi penyelenggaraan padang dinaik taraf menerusi geran KBS. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!