Penyalahgunaan NPS jadi cabaran global baharu - Ayob Khan

AYOB KHAN
AYOB KHAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selain jenayah siber, penyalahgunaan bahan psikoaktif baharu (NPS) yang semakin mudah diperoleh melalui Internet, turut menimbulkan kebimbangan berikutan kesan serius terhadap pembangunan sosial dan ekonomi.

Isu yang bersifat rentas sempadan ini memerlukan kerjasama kukuh antara agensi penguatkuasaan undang-undang di peringkat global, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

"Pertumbuhan pesat teknologi maklumat malangnya telah meningkatkan aktiviti jenayah siber dan penyalahgunaan NPS secara global.

"Peningkatan penggunaan peranti digital, kaedah penyulitan dan perkhidmatan tanpa nama menimbulkan cabaran teknikal yang kompleks bagi agensi penguatkuasaan undang-undang.

"Sifat jenayah ini yang merentasi sempadan menyukarkan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk meneruskan tindakan undang-undang kerana batasan bidang kuasa.

"Oleh itu, kerjasama antara agensi penguatkuasaan undang-undang pelbagai negara amat penting dalam menangani cabaran ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucap tamanya selepas merasmikan Seminar Jenayah Siber dan Penyalahgunaan Bahan yang dianjurkan bersempena dengan Defence Services Asia (DSA) and National Security (NATSEC) Asia 2024 di sini pada Selasa.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNOCD), NPS menjadi fenomena global dengan 141 negara dan wilayah dari semua rantau di dunia ini melaporkan satu atau lebih NPS.

Artikel Berkaitan:

Setakat November 2023, sebanyak 1,230 bahan dilaporkan kepada UNODC Early Warning Advisory (EWA) mengenai NPS oleh kerajaan, makmal dan organisasi rakan kongsi.

NPS yang terdapat di pasaran mempunyai kesan sama seperti dengan bahan di bawah kawalan antarabangsa seperti kanabis, kokain, heroin, LSD, MDMA (ekstasi) atau methamphetamine. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!