'Beli Mercedes ikut kemampuan, tak usik duit rakyat'

Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar Nik Abdullah
A
A
A

KOTA BHARU - Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjelaskan bahawa pembelian kenderaan rasmi baharu untuk Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob dan Exco kerajaan negeri itu bukan menggunakan duit rakyat, sebaliknya menggunakan baki bajet surplus (lebihan) belanjawan negeri bagi tahun 2018 dan 2019.

Beliau berkata, hasrat untuk menukar kenderaan tersebut telah dimaklumkan sejak dua tahun lepas dan ia tiada kena mengena dengan duit 'one-off' pemberian kerajaan Persekutuan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Kita tidak guna duit rakyat, tapi duit yang ada itu adalah lebihan belanjawan yang kita ada untuk tahun 2018 dan 2019. Kita beli sikit-sikit ikut kemampuan kita.

"Duit RM400 juta itu baru sahaja diberikan kerajaan Persekutuan, malah langsung kami tidak usik pun. Itu duit rakyat untuk pembangunan negeri dan sebagainya. Kami tidak sentuh langsung," katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah Medan Ilmu di sini hari ini.

Pembelian kereta jenis Mercedes Benz baharu milik Ahmad tular di laman sosial Facebook dan Instagram hingga mencetuskan pelbagai persepsi terhadap Kerajaan Negeri Kelantan apabila ia rancak dibahas oleh warganet.

Ada yang mendakwa dan mengaitkan pembelian kenderaan mewah itu menggunakan duit 'one-off' kerajaan Persekutuan kepada Kelantan pada Disember lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular MB Kelantan dapat kereta rasmi Mercedes Benz

'Tuduhan guna RM400 juta beli Mercedes fitnah' - Pejabat MB Kelantan

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, perancangan untuk menukar kenderaan tersebut telah dibincangkan kerajaan bagi langkah-langkah penjimatan memandangkan kos pengurusan kenderaan lama sangat tinggi dan membebankan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penggunaan wang RM400 juta tersebut, Mohd Amar berkata, wang itu akan digunakan sepenuhnya bagi meningkatkan ekonomi serta kesejahteraan rakyat mengikut skop-skop yang akan dibincangkan.

"Buat masa sekarang kita tengah bincang untuk semua perancangan yang akan dilakukan dan salah satunya ialah melibatkan bekalan air bersih.

"Kita pun sedang alami kemarau yang mungkin berlarutan sehingga April. Jadi bekalan air bersih ini mungkin didahulukan daripada perkara lain dan kita akan tengok balik perkara mana kita akan dahulukan seterusnya," katanya.