[VIDEO] Syed Saddiq fail semakan tindakan PM, kerajaan henti peruntukan untuk Muar

A
A
A

KUALA LUMPUR - Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tiga pengundi memfailkan permohonan kebenaran untuk mendapatkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini pada 23 April lalu, berhubung tindakan pemberhentian peruntukan RM4 juta untuk Parlimen Muar, tahun ini.

Ahli Parlimen Muar itu dan tiga pihak lain iaitu Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG), Najib Abu Nawar; imam surau, Mohd Bakirudin Abdullah serta pengerusi surau, Muhamad Fadzly Bisri selaku pemohon pertama hingga keempat memfailkan semakan tersebut menerusi Tetuan Lim.

Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan tiga individu itu, menamakan Perdana Menteri dan kerajaan sebagai responden.

Mereka menuntut baki RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta yang sepatutnya disalurkan secara terus kepada akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar bagi tujuan perbelanjaan untuk program kebajikan dan bencana di parlimen itu.

Ia termasuk keputusan untuk membatalkan akses pemohon pertama terhadap sistem ‘myKHAS’ yang menguruskan permohonan Peruntukan Pembangunan RM2 juta untuk kawasan terbabit.

Syed Saddiq
Syed Saddiq

“Pemohon juga meminta responden menarik balik keputusan yang membatalkan beberapa projek berjumlah RM230,300 memandangkan ia telah diluluskan oleh sistem ‘myKHAS’.

“Mohon satu perintah untuk membatalkan tindakan responden supaya meluluskan peruntukan kepada saya selaku Ahli Parlimen Muar bagi Projek Mesra Rakyat ataupun yang seumpama,” kata Syed Saddiq.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Syed Saddiq meminta akses untuk sistem ‘myKHAS’ diaktifkan, peruntukan bagi parlimen tahun ini disalurkan segera dan membenarkannya untuk membuat permohonan sumbangan kewangan projek untuk tahun ini.

Ketika sidang media di luar mahkamah, Syed Saddiq berkata, dana itu dibatalkan selepas Muda menarik sokongan daripada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, mereka memfailkan semakan kehakiman kerana mahu menghentikan politik balas dendam dan memastikan mereka yang terkesan, mendapat haknya semula.

“Sedangkan, dana ini perlu digunakan untuk kebajikan rakyat di Muar, antaranya bantuan warga emas, pembelian kerusi roda dan lampin.

“Golongan ini teruk terkesan apabila penyaluran dana dibuat mengikut warna politik dan kawasan sama ada (menyokong) kerajaan atau pembangkang,” katanya.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC), ketika dihubungi media, mengesahkan akan membantah permohonan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!