Baru tiga bulan aktif, sindiket edar dadah tumpas

Mohd Yusri (dua dari kiri) menunjukkan kejayaan JSJN Perak menumpaskan sindiket pengedaran dadah hasil penahanan dua lelaki di Taiping, Jumaat lalu.
Mohd Yusri (dua dari kiri) menunjukkan kejayaan JSJN Perak menumpaskan sindiket pengedaran dadah hasil penahanan dua lelaki di Taiping, Jumaat lalu.
A
A
A

IPOH - Sindiket pengedaran dadah yang baru tiga bulan aktif tumpas selepas dua dalang kumpulan berjaya diberkas dalam serbuan di Taiping, pada Jumaat.

Semasa serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sekitar jam 11.15 malam itu, suspek masing-masing berusia 41 dan 47 tahun berada dalam sebuah kereta di Jalan Medan Simpang dekat Simpang.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, hasil pemeriksaan dalam kereta jenis Proton Waja tersebut menjumpai sebuah guni berwarna putih yang di dalamnya mengandungi 46 bungkusan plastik lutsinar.

Menurutnya, setiap satu bungkusan itu mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat lebih 21 kilogram bernilai RM262,275.

"Suspek yang bekerja sebagai nelayan dan pembantu kedai itu mengakui, mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Februari lalu.

"Kumpulan itu mendapatkan bekalan dadah ini dari kawasan utara Perak dan diedarkan di pasaran tempatan di seluruh negeri.

"Dianggarkan dadah yang dirampas ini boleh digunakan kepada 20,000 penagih dadah," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Mohd Yusri (dua dari kiri) menunjukkan rampasan barang kes dan dadah hasil penahanan dua lelaki di Taiping, Jumaat lalu.
Mohd Yusri (dua dari kiri) menunjukkan rampasan barang kes dan dadah hasil penahanan dua lelaki di Taiping, Jumaat lalu.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morfin.

Katanya, semakan juga mendapati mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah.

"Kedua-dua suspek telah direman selama enam hari sehingga 9 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, JSJN Perak telah membuat tangkapan ke atas 7,171 individu yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sejak Januari lalu.

Ujar beliau, dalam tempoh itu, lebih 100 kilogram dadah berjaya dirampas membabitkan nilai keseluruhan RM4.09 juta.

"Tangkapan dan serbuan ke atas suspek juga membawa kepada sitaan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai sitaan berjumlah RM4.24 juta," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!