Maritim tahan bot nelayan asing bernilai RM1.5 juta

Dua bot nelayan asing Vietnam ditahan dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta melalui Operasi Naga Barat pada Ahad. Foto Maritim Terengganu
Dua bot nelayan asing Vietnam ditahan dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta melalui Operasi Naga Barat pada Ahad. Foto Maritim Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menahan dua bot nelayan asing Vietnam dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta melalui Operasi Naga Barat pada Ahad.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abd Majid berkata, operasi itu turut menahan seramai 18 orang kru serta tekong pada jam 3.30 petang di kedudukan 145 batu nautika Timur Laut Muara Kuala Terengganu.

"Kesemua kru bot berserta tekong berusia lingkungan 13 hingga 63 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Selain itu, mereka juga tidak memiliki sebarang kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara ini ketika diperiksa oleh Pegawai Maritim Malaysia," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Khairulanuar menyatakan kesemua kru bot nelayan asing tersebut telah disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan kawalan dan pemantauan bagi membanteras pencerobohan nelayan asing di perairan negara ini.

"Maritim Malaysia akan memperkasakan lagi operasi pemantauan bagi mengekang pencerobohan bot nelayan asing di sekitar perairan Negeri Terengganu dalam siri operasi yang telah dirancang," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: