Cuba selamatkan anak tergelincir, tiga beranak mati lemas

Perkelahan sebuah keluarga berakhir tragedi apabila seorang bapa bersama dua anaknya lemas ketika mandi di Sungai Balak, Batang Kali pada Ahad.
Perkelahan sebuah keluarga berakhir tragedi apabila seorang bapa bersama dua anaknya lemas ketika mandi di Sungai Balak, Batang Kali pada Ahad.
A
A
A

HULU SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Perkelahan sebuah keluarga berakhir tragedi apabila seorang bapa bersama dua anaknya lemas dalam kejadian di Sungai Jeram Ngenjur, Jalan Batang Kali-Genting dekat sini pada Ahad.

Dalam kejadian tersebut, bapa serta anak lelakinya lemas ketika cuba menyelamatkan anak perempuan yang tergelincir dalam sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian berlaku ketika tiga mangsa terlibat bersama enam lagi ahli keluarga mereka yang lain sedang beriadah di lokasi berkenaan.

"Polis sebelum itu menerima maklumat berkaitan kejadian lemas melibatkan seorang lelaki dewasa serta seorang kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lelaki.

"Kesemua mangsa terlibat berumur antara enam tahun sehingga 41 tahun dipercayai lemas di lokasi kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Anggota bomba mengangkat mayat salah seorang mangsa lemas di Sungai Balak, Batang Kali pada Ahad.
Anggota bomba mengangkat mayat salah seorang mangsa lemas di Sungai Balak, Batang Kali pada Ahad.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku apabila kanak-kanak perempuan telah tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai.

Artikel Berkaitan:

"Bapa mangsa kemudiannya cuba untuk menyelamatkan anak perempuannya itu dan masa sama kanak-kanak lelaki terbabit turut terjun ke dalam sungai tanpa disedari ibunya.

"Kesemua mangsa bagaimanapun lemas sebelum mayat mereka ditemui orang awam kira-kira jam 1.30 petang dan dibawa naik ke tepi sungai," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan awal ke atas kesemua mangsa dijalankan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ketiga-tiga mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Kuala Kubu Baharu pada jam 2.25 petang.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.09 tengah hari.

"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baharu dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dan Pelabuhan Klang kemudiannya dikejarkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan kerja menyelamat.

Anggota bomba menemukan kesemua mangsa lemas kira-kira jam 1.35 tengah hari pada Ahad.
Anggota bomba menemukan kesemua mangsa lemas kira-kira jam 1.35 tengah hari pada Ahad.

"Mangsa terdiri daripada seorang lelaki dewasa dan dua kanak-kanak yang dipercayai lemas ketika mandi di sungai berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa berjaya ditemui pada jam 1.35 tengah hari pada jarak kira-kira 30 meter dari lokasi mereka mandi.

"Mayat kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!