Banjir luar biasa landa Afrika Timur

Sebahagian besar kawasan terjejas banjir di daerah Gatumba, Bujumbura di Burundi.
Sebahagian besar kawasan terjejas banjir di daerah Gatumba, Bujumbura di Burundi.
A
A
A

NAIROBI - Fenomena El Nino memberi impak berbeza di beberapa negara Afrika Timur ketika sebahagian tempat di rantau Asia kini berdepan gelombang haba ekstrem.

Kawasan di Ethiopia, Kenya dan Tanzania yang biasanya gersang serta dilanda kemarau mengalami taburan hujan luar biasa, disebabkan corak cuaca El Nino yang dikaitkan dengan peningkatan haba di seluruh dunia.

Situasi luar biasa tersebut menarik perhatian badan antarabangsa malah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Khamis menzahirkan ucapan takziah kepada penduduk yang terjejas teruk akibat banjir menerusi jurucakap beliau, Stephane Dujarric.

Rumah seorang penduduk diselaputi lumpur susulan banjir kilat dan kejadian tanah runtuh di Mai Mahiu di Kenya.
Rumah seorang penduduk diselaputi lumpur susulan banjir kilat dan kejadian tanah runtuh di Mai Mahiu di Kenya.

“Setiausaha Agung PBB turut berduka dengan laporan hampir 400 kematian penduduk di Burundi, Kenya, Somalia dan Tanzania serta bahagian lain di Afrika Timur,” ujar Dujarric.

Menurutnya, PBB bersama rakan kongsi mereka juga akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menangani keperluan kemanusiaan dan bantuan tambahan kepada penduduk ketika menghadapi waktu sukar itu.

Gutteres juga menyuarakan kebimbangan terhadap kesan cuaca ekstrem dicetuskan El Nino yang berisiko memusnahkan komuniti dan menjejaskan mata pencarian penduduk miskin di Afrika setelah kebanyakan ladang pertanian musnah teruk.

Artikel Berkaitan:

Banjir besar melanda sebahagian besar negara di Afrika Timur sejak lebih tujuh bulan lalu.
Banjir besar melanda sebahagian besar negara di Afrika Timur sejak lebih tujuh bulan lalu.

Persoalannya, mengapa berlaku hujan lebat luar biasa di rantau tersebut?

Menurut pakar cuaca, ia adalah hasil gabungan beberapa faktor termasuk corak cuaca bermusim, perubahan iklim disebabkan aktiviti tidak terkawal manusia dan fenomena cuaca semula jadi seperti El Nino.

Sebagai contoh, keadaan di Nairobi, penyelidik menggunakan sistem iklim semula jadi digelar Dwikutub Lautan Hindi (IOD) yang menjadikan permukaan barat Lautan Hindi lebih panas berbanding purata, kemudian lebih sejuk berbanding purata di timur Lautan Hindi.

Sebuah keluarga dipindahkan selepas kawasan Githurai di Nairobi ditenggelami banjir.
Sebuah keluarga dipindahkan selepas kawasan Githurai di Nairobi ditenggelami banjir.

Ia mempunyai fasa positif, neutral dan negatif. Difahamkan, fasa positif mengakibatkan hujan lebat luar biasa di kawasan barat Lautan Hindi seperti Kenya, manakala kemarau di Indonesia dan Australia.

Penyelidik bersama di Imperial College London, Joyce Kimutai berkata, terdapat kemungkinan IOD positif sedang berlaku dan perubahan iklim menjelaskan punca hujan serta banjir luar biasa yang telah menyebabkan ratusan ribu penduduk di rantau berkenaan hilang tempat tinggal sejak beberapa bulan lalu.

Kebanyakan rumah tenggelam di perkampungan daerah Rufiji di Mohoro, Tanzania.
Kebanyakan rumah tenggelam di perkampungan daerah Rufiji di Mohoro, Tanzania.

Menerusi analisis pada Disember lalu, Kimutai bersama rakan saintis dari World Weather Attribution yang menganalisis sama ada perubahan iklim memainkan peranan dalam cuaca ekstrem mendapati aktiviti manusia telah mencetuskan ‘musim hujan pendek’ di Nairobi dan beberapa bahagian lain di Afrika Timur sehingga dua kali lebih sengit.

Sejak Mac lalu, banjir di Kenya telah meragut 210 nyawa dan kini berdepan ancaman Siklon Hidaya yang dijangka membawa hujan lebih lebat. - Agensi

Banjir dahsyat itu turut menyebabkan kemusnahan harta benda yang besar.
Banjir dahsyat itu turut menyebabkan kemusnahan harta benda yang besar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!