Sabah FC gesa penyokong The Rhinos bertanggungjawab sebagai pemilik

Sabah FC. Foto Sabah Football Club
Sabah FC. Foto Sabah Football Club
A
A
A

SABAH FC menyeru penyokong-penyokong skuad The Rhinos agar menjalankan tanggungjawab sebagai 'pemilik' dengan memastikan kelab itu dapat menjana pendapatan dengan baik dan tidak melakukan perkara yang memberi kesan negatif kepada pasukan.

Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid berkata, seruan itu dibuat kerana pengurusan masih berdepan masalah melibatkan penyokong yang memberikan kesan negatif kepada skuad Sang Badak itu seperti tiket palsu, masuk stadium tanpa tiket dan membeli barangan tiruan yang menjejaskan pendapatan pasukan dengan ketara.

Beliau berkata, pengurusan melihat penyokong Sabah sebagai 'pemilik' yang mempunyai pegangan ekuiti sosial kepada pasukan itu, justeru mereka diseru bekerjasama dengan pihak pengurusan dalam usaha menghapuskan masalah yang dihadapi itu.

"Bukan semua, ada penyokong setia beli tiket asli bagi perlawanan di tempat sendiri dan di tempat lawan selain beli barangan yang asli. Ini satu contoh yang wajar diikuti kerana penyokong mempunyai ekuiti sosial dalam Sabah FC, ada pegangan saham untuk pasukan kita ini.

"Pendapatan inilah yang kita gunakan untuk menjana kelab, tetapi ada lagi yang jual barang tiruan di luar stadium ketika perlawanan, penyokong tidak bolehlah beli. Bila kita sayang pasukan inilah masa kita buktikan, sokong sepenuh hati pasukan kita ini," katanya.

Mohd Joh berkata, pihak pengurusan pada masa ini juga sedang berusaha mendekatkan Sabah FC dengan penyokong antaranya dengan membawa pasukan itu mengadakan sesi jelajah bertemu peminat di luar Kota Kinabalu seperti ke Keningau pada 23 April lepas.

"Akan datang pada sesi rehat liga kita akan pergi ke Sandakan dan Tawau pula," katanya yang menganjurkan pelbagai aktiviti untuk penyokong serta perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan antaranya Keningau FA yang berkesudahan Sabah FC menang 10-2.

Beliau berkata, sememangnya Sabah berdepan situasi kewangan terhad dalam mengharungi saingan Liga Malaysia 2024/2025 yang akan bermula dengan perlawanan menentang Penang FC pada 12 Mei ini, namun situasi itu tidak menjejaskan persediaan pasukan.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Joh, pihak pengurusan juga sedang mencari penaja dan mempunyai beberapa pihak yang tampil untuk membantu pasukan itu dan berharap lebih ramai pihak terutamanya badan korporat tampil menjadi rakan kongsi mahupun penaja pasukan itu.

"Kita juga telah letakkan ESG iaitu alam sekitar, sosial dan tadbir urus sebagai polisi kita dalam mentadbir pasukan ini. Kita dekatkan diri dengan penyokong selain aktiviti alam sekitar, sosial dan tatakelola serta tataurus kelab yang baik," katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee percaya pihak pengurusan akan berusaha dengan cara yang efektif bagi mengatasi masalah serta memastikan kelancaran pasukan terutama kewangan dan berharap penyokong memberikan sokongan kepada usaha tersebut.

"Pendapat saya sudah tentu saya mahukan ramai pemain berkualiti tinggi tetapi kita kena faham pihak pengurusan letak syarat dan perbelanjaan bagi memastikan perjalanan pasukan lancar, jadi sebagai jurulatih kita kena menghormatinya.

"Pada masa ini kita tidak lagi mengambil mana-mana pemain kecuali ada perubahan atau arahan daripada pihak pengurusan," katanya yang juga mahu memberikan peluang kepada pemain muda Sabah menyertai pasukan tetapi ia bergantung kepada potensi dan usaha ditunjukkan mereka.

Beliau berkata, pada masa ini Sabah FC tidak meletakkan sebarang sasaran untuk dicapai dalam Liga Super, namun percaya pasukan itu mampu memberikan saingan dengan pasukan lain yang berbelanja besar dalam liga.

Liga Super musim lalu menyaksikan Sabah berjaya menduduki tangga ketiga di belakang Selangor FC di tempat kedua dan Johor Darul Ta'zim yang menjuarai liga itu untuk 10 musim berturut-turut. - Bernama

INFO

Pengurusan Sabah FC masih berdepan masalah melibatkan penyokong-penyokong yang memberikan kesan negatif kepada skuad Sang Badak itu seperti tiket palsu, masuk stadium tanpa tiket dan membeli barangan tiruan yang menjejaskan pendapatan pasukan dengan ketara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!