X

Kindly register in order to view this article
!

Selamatkah perbualan telefon anda?

Pintasan perbualan dan data telefon biasanya digunakan pihak berkuasa untuk kes-kes yang melanggar undang-undang dan keganasan.
A
A

“CAN I advise you on something.”

Enam perkataan itu bukanlah sesuatu yang luar biasa, acap kali digunakan, kerap kali juga diungkapkan namun sejak beberapa hari lepas, populariti ayat yang serba ringkas itu sungguh luar biasa hebatnya.

Kisahnya bermula minggu lalu. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan beberapa klip audio, mendakwa ia merupakan rakaman perbualan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Individu lain yang turut dikaitkan ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor yang dipercayai mengungkapkan ‘ayat popular’ tersebut, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

Pendedahan mengejutkan itu menggemparkan negara, ada yang bersetuju, tidak kurang juga mengecam.

Bahkan, Najib sendiri mengakui beliau terkejut dengan pendedahan. Tegasnya, perkara sebegitu tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

Ramai berpendapat rakaman audio itu mungkin diperoleh dengan cara pintasan perbualan telefon.

Justeru, Najib menyatakan beliau akan mengkaji isu tersebut dari sudut undang-undang kerana ia berlaku ketika beliau penjawat awam dan ketua kerajaan.

Akta pintas telefon

Ironinya, peguam, Syahredzan Johan mendakwa kerajaan pimpinan Najib yang mencadang, meluluskan pindaan Kanun Tatacara Jenayah (CPC) pada 2012 yang membenarkan kerajaan memintas dan merakam perbualan peribadi.

Pada 2014, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri juga menyatakan polis dibenar memintas sesuatu komunikasi jika mendapati ia mempunyai unsur berkaitan dengan sesuatu kesalahan.

Jadi, bukan Pakatan Harapan (PH) sahaja yang benarkan ini berlaku.

Hakikatnya, ‘wire tapping’ bukanlah isu baharu. Pada tahun 2018, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Rusia dan China mengintip telefonnya dan mencuri dengar perbualan pemimpin kontroversi itu. Kecoh juga dunia dibuatnya.

Begitupun, China dan Rusia pantas menafikannya malah jurucakap kementerian luar China, Hua Chunying menyindir: “Mereka patut berhenti menggunakan sebarang peralatan komunikasi moden, memutuskan hubungan dengan dunia luar jika mahu pastikan ia benar-benar selamat.”

Pakar keselamatan siber, Profesor Dr Mohamed Ridza Wahiddin dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, konsep sebegitu sudah lama diamalkan cuma di Malaysia, ia mengikut kepentingan nasional.

Dr Mohamed Ridza Wahiddin
Dr Mohamed Ridza Wahiddin

“Ini untuk kepentingan negara, rakyat kalau menceritakan sesuatu yang menjejaskan kepentingan negara, dia akan risaulah. Tapi kalau tak menjejaskan kepentingan negara, ia tidak ada masalah pun.

“Dalam keadaan sekarang, semua negara pun ada teknologi sebegitu. Ada lima kuasa besar yang English Speaking Nation, United Kingdom, Kanada, AS, Australia dan New Zealand. Mereka ada satu projek bernama Five Eyes (FVEY) dan ini juga dah lama,” katanya.

FVEY pada asalnya merupakan ‘perjanjian perkongsian kepintaran’ melibatkan AS dan United Kingdom, dimeterai puluhan tahun lepas, bertujuan mengintip Kesatuan Soviet. Penghujung tahun 1950an, Australia, Kanada dan New Zealand pula menyertainya.

Menyingkap kisah lain ‘wire tapping’ atau pintasan telefon di Malaysia, kes melibatkan Najib bukanlah baharu kerana sebelum ini, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 2016 mendakwa telefonnya 'dicuri dengar' serta pergerakannya sedang 'dipantau' oleh pasukan cawangan khas.

Begitupun, isu panas itu pantas ‘disejukkan’ Ketua Polis Negara pada waktu itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menegaskan dakwaan itu hanyalah salah faham: “Saya telah bertemu beliau dan menjelaskan salah faham itu,” katanya.

Kes pelanggaran undang-undang

Mengulas pendedahan SPRM baru-baru ini, penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed menyokong tindakan SPRM dan menyifatkan ia satu tindakan yang bagus.

Dr Ahmad Marthada
Dr Ahmad Marthada

“Malaysia sekarang bergerak ke arah menjadikan negara lebih demokratik sepenuhnya dan ia bermaksud kita perlu lebih telus, mengikut Rule of Law. Ketua Pengarah SPRM nak tunjuk sistem lama terlalu banyak campur tangan terutama dari pihak Eksekutif.

“Kemudian kita lihat SPRM cuba menutup kes, Peguam Negara juga terlibat. Ini menunjukkan bahawa ia sangat bahaya bila ada campur tangan dalam pentadbiran.

“Dalam usaha kita meningkatkan demokrasi maka kita tidak mahu elemen-elemen yang berlaku sebelum ini berlaku pada kali ini,” katanya.

Jelasnya, rakyat tidak perlu bimbang dengan pendedahan tersebut kerana sekiranya mereka tidak melakukan sebarang kesalahan, tiada keperluan untuk mereka berasa bimbang dengan ‘wire tapping’ sebegitu.

“Kerajaan pun sudah luluskan akta ‘wire tapping’ ini dan ia hanya digunakan kerajaan apabila berlakunya pelanggaran undang-undang. Rakyat akan dilindungi jika tidak melakukan kesalahan,” katanya.

Faktanya, mengikut Kanun Acara Jenayah, Seksyen 116C, pendakwa raya boleh memberi kebenaran kepada mana-mana anggota polis untuk memintas, mendengar atau merekod apa-apa perbualan melalui komunikasi.

Bahkan, terdapat peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 43 Akta SPRM membolehkan suruhanjaya itu memintas panggilan telefon, mendengar serta merakam perbualan mana-mana individu sasaran.

Menyelusuri beberapa kes di luar negara, ternyata pintasan telefon pernah digunakan dalam beberapa kes jenayah termasuklah kes pengeboman ‘Boston Marathon’ pada 15 April 2013 yang menyebabkan tiga orang terbunuh manakala 264 yang lain cedera.

Tatkala kes masih dalam siasatan, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berjaya mendapatkan rakaman perbualan suspek utama, Dzhokar Tsranaev. Meskipun bukti tersebut tidak dibawa ke mahkamah namun ia membantu dalam siasatan FBI.

Menerusi temubual disiarkan CNN bersama Tim Clemente (bekas anggota FBI), Clemente mengesahkan biro tersebut mempunyai cara untuk mendapatkan rakaman perbualan telefon tersebut yang digunakan untuk membantu siasatan.

“Selamat datang ke Amerika. Semuanya (perbualan telefon orang awam) dirakamkan setiap kali kita bercakap tidak kiralah kita tahu atau tidak, kita suka atau tidak,” katanya sekali gus mengesahkan AS sudah lama mengintip rakyatnya.

Tak wajar dedah rakaman

Jadi, adakah SPRM melakukan kesalahan? Tidak!

Begitupun, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Amirah Ismail berpendapat SPRM tidak wajar mendedahkan rakaman tersebut kepada umum.

Dr Amirah Ismail
Dr Amirah Ismail

“Mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 dan Kanun Prosedur Jenayah, SPRM perlu ada waran untuk tap (intip) perbualan telefon. Peruntukan waran ini tertakluk kepada kes-kes seperti keganasan atau terorisme.

"Bukannya dalam siasatan kes jenayah kolar putih seperti 1MDB. Persoalannya, adakah mereka boleh mengintip perbualan telefon sesiapa sahaja yang mereka suka?” soal beliau.

INFO TAMBAHAN

Tips elak data diceroboh

- Jangan memasang program atau sebarang aplikasi yang dimuat turun yang tidak diketahui sumbernya pada telefon anda

- Teruskan mengesan aplikasi yang telah anda pasang

- Gunakan beberapa kunci keselamatan di mana sahaja anda boleh

- Jangan klik pada pautan yang tidak selamat

- Jangan sambungkan telefon anda ke titik pengecasan percuma yang mencurigakan.

Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) atau APDP merupakan salah satu bentuk perundangan siber yang diperakukan dalam pelaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC).

Sebarang data yang membolehkan seseorang individu yang masih hidup dikenal pasti adalah dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.

Beberapa contoh data boleh dianggap sebagai data peribadi selagi seseorang individu yang masih hidup boleh dikenal pasti daripada maklumat atau data tersebut:

- Nama dan alamat

- Nombor kad pengenalan

- Nombor pasport

- Maklumat kesihatan

- Alamat e-mel

- Gambar

- lmej dalam rakaman CCTV

- Maklumat dalam fail peribadi