Skuad berwajah baharu, Speedy Tigers letak sasaran realistik

Senarai 18 pemain Speedy Tigers yang menggalas cabaran negara di Piala Sultan Azlan Shah 2024.
Senarai 18 pemain Speedy Tigers yang menggalas cabaran negara di Piala Sultan Azlan Shah 2024.
A
A
A

STATUS penyandang juara bukan satu tekanan buat skuad hoki lelaki negara apabila turun mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah yang menyingkap tirai di Stadium Azlan Shah, Ipoh Perak pada Sabtu.

Sebaliknya, penolong pengendali Speedy Tigers, Mohamad Sukri Abdul Mutalib menegaskan, skuad berwajah baharu lebih selesa menyasarkan kelompok empat terbaik edisi ke-30 kali ini.

Katanya, sasaran itu disifatkan realistik kerana kejuaraan tersebut merupakan kejohanan pertama pasukan yang baharu dibentuk ini, dengan fokus utama adalah program jangka panjang.

“Tiada tekanan untuk kami pada kejohanan ini dan semua sedia maklum pasukan kali ini adalah gabungan pemain muda dan senior.

“Kita ada program jangka panjang dalam pasukan ini. Untuk kejohanan Piala Sultan Azlan Shah, saya harap pemain-pemain dapat memberikan aksi terbaik di atas padang.

“Sasaran pada kejohanan ini juga sekurang-kurangnya kita berada dalam kelompok empat terbaik,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Speedy Tigers yang berstatus ranking ke-13 dunia akan menyingkap kempen berdepan juara tiga kali, Pakistan, malam esok.


INFO

Pertemuan terakhir Malaysia-Pakistan dalam pentas Piala Sultan Azlan Shah edisi 29 pada November 2022 menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Artikel Berkaitan:

Edisi ke-29 juga menyaksikan Speedy Tigers muncul juara buat kali pertama selepas 39 tahun sejak edisi pertama dianjurkan pada 1983.


Piala Sultan Azlan Shah 2024

4 MEI

- Malaysia lwn Pakistan (Juara tiga kali)

5 MEI

- Malaysia lwn Kanada

7 MEI

- Malaysia lwn New Zealand (Juara dua kali)

8 MEI

- Malaysia lwn Jepun

10 MEI

- Malaysia lwn Korea Selatan (Juara tiga kali)

* Semua aksi Malaysia dijadualkan bermula jam 8.30 malam di Stadium Azlan Shah, Ipoh

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!