PM saksi penyerahan Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando

Anwar (tengah) menerima buku 69 Komando dari Razarudin (kanan) pada Majlis Ramah Mesra Raya Madani bersama Warga Unit 69 Komando, Pasukan Gerak Khas, Ulu Kinta di Pusat Latihan Unit 69 Komando pada Sabtu. Turut hadir, Saifuddin Nasution. Foto Bernama
Anwar (tengah) menerima buku 69 Komando dari Razarudin (kanan) pada Majlis Ramah Mesra Raya Madani bersama Warga Unit 69 Komando, Pasukan Gerak Khas, Ulu Kinta di Pusat Latihan Unit 69 Komando pada Sabtu. Turut hadir, Saifuddin Nasution. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu menyaksikan penyerahan Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando di Ulu Kinta, di sini.

Dokumen penyerahan itu diserahkan oleh Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Dalam Negeri, Ahmad Fuad Apandi kepada Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) (Sektor Bangun, Datuk Ir Badioezaman Ab Khalik yang menjalankan tugas Ketua Pengarah JKR.

Selain Perdana Menteri, turut menyaksikan penyerahan dokumen itu ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Pembinaan Kem Sultan Nazrin Shah bermula pada 2018 dengan kos RM236 juta oleh kontraktor utama projek itu Syarikat Sujaman Sdn Bhd, manakala pada 14 Februari lepas kem berkenaan mendapat sijil siap kerja dan pihak 69 Komando beroperasi secara berperingkat di situ.

Pada majlis pada Sabtu juga, Razarudin diiringi Komander 69 Komando SAC Hamzah Hashim menyerahkan buku Sejarah Penubuhan 69 Komando serta buku Lahad Datu Mac 2013 kepada Perdana Menteri.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Pengerusi Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Selain itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri juga menghadiri majlis itu.

Usai majlis penyerahan dokumen, Anwar ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Raya Madani bersama Warga 69 Komando berkata, kem itu merupakan tempat melatih kekuatan fizikal dan mental serta mengukuhkan semangat daya juang pasukan.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada keluarga warga Komando 69 kerana memahami peranan komando di barisan hadapan yang mempunyai tanggungjawab besar untuk menjamin keamanan dan keselamatan negara.

"Jadi, saya bagi pihak kerajaan tentunya meraikan saudara dan saudari kerana tugas yang besar untuk menjamin keselamatan negara ini. Tentunya melibatkan bukan sahaja semangat, disiplin dan pengorbanan meninggalkan keluarga dan kadang-kadang risiko keselamatan diri, jadi saya sekali lagi menyatakan penghargaan,” kata beliau.

Justeru, Anwar berkata, walaupun kerajaan dan negara mewarisi hutang dan tanggungjawab besar, beliau tidak mahu melepaskan tanggungjawab menjaga dan membela nasib penjawat awam termasuk anggota polis dan Kementerian Dalam Negeri umumnya kerana mereka menggalas tanggungjawab yang besar.

Sementara itu, selepas majlis hari raya bersama warga Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando, Anwar sempat meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk menghadiri Majlis Santunan Aidilfitri Peringkat Parlimen Tambun di Padang RPT Jelapang Baru, dekat Gugusan Manjoi.

Majlis yang dimeriahkan kira-kira 10,000 penduduk setempat itu turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!