Jangan politikkan usaha kerajaan naikkan gaji penjawat awam - Cuepacs

Adnan
Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa semua pihak untuk tidak mempolitikkan usaha kerajaan menaikkan gaji penjawat awam.

Presiden Cuepacs, Datuk Dr Adnan Mat berkata, pihaknya kecewa apabila isu tersebut mula dipolitikkan sehingga timbul idea untuk menggagalkan hasrat kerajaan melalui penolakan sokongan di Parlimen.

Menurut beliau, kenyataan seorang ahli politik baru-baru ini amat mengecewakan penjawat awam yang telah lama menantikan pelarasan semula skim gaji supaya dapat menampung peningkatan kos sara hidup semasa.

“Janganlah emosi politik menguasai keputusan yang tidak memberikan sifat ihsan kepada kebajikan penjawat awam.

“Dalam hal ini, Cuepacs amat konsisten untuk meneruskan perjuangan agar isu kenaikan gaji dapat disokong sepenuhnya oleh semua pihak sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang.

“Jangan kerana marahkan nyamuk habis kelambu mahu dibakar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Sambutan Hari Pekerja 2024 pada 1 Mei lalu mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih daripada 13 peratus melibatkan peruntukan sekitar RM10 bilion bermula 1 Disember depan.

Beliau memaklumkan, kadar itu tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.

Artikel Berkaitan:

Adnan turut menjelaskan, Anwar telah memberi jaminan bahawa penstrukturan semula gaji penjawat awam melalui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dilakukan ketika ini akan dilaksanakan pada 1 Disember dan hasil akhirnya dibentangkan untuk kelulusan menerusi Belanjawan 2025.

Tambah beliau, berita gembira sedemikian tidak wajar dikaitkan dengan pilihan raya kecil (PRK) yang sedang berlangsung ketika ini.

“Janganlah kita mewujudkan polemik dan kegusaran terhadap usaha yang baik dilakukan oleh kerajaan.

“Ahli politik diminta bersikap lebih matang, bijak dan bertanggungjawab dalam memainkan isu-isu yang hendak diketengahkan.

“Keyakinan Cuepacs tetap tinggi supaya usaha kerajaan untuk menambah baik sistem ini berjalan lancar demi kesejahteraan penjawat awam dan negara keseluruhannya,” ujar Adnan lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!