X

Kindly register in order to view this article
!

Surah al-Rahman, ayat 10 Surah al-Kahf dipilih untuk World dan Malaysia #QuranHour pada tahun ini

MARHAINI
A
A

SURAH al-Rahman dan ayat ke-10 dalam Surah al-Kahf bakal diangkat pada program World #QuranHour yang dijadualkan berlangsung pada 20 Ramadan 1441 Hijrah dan Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah (WUIF), Marhaini Yusoff, surah dan ayat yang terpilih itu menunjukkan nilai kesantunan termasuk sifat lemah lembut, berbuat baik, belas kasihan dan berhemah.

Ujar beliau, ia selari dengan kempen Uninstall Hatred, Reboot Malaysia & Global Politeness yang membawa misi al-Rahmah dengan objektif membuang segala kebencian dan mengembalikan semula keharmonian dalam diri, keluarga, komuniti negara serta dunia.

“Keadaan masyarakat pada hari ini sangat mencabar sehingga hilang kepercayaan antara satu sama lain. Kita ingin 'meng-Qurankan' bangsa dan mengikhlaskan ummah dengan berinteraksi dengan al-Quran melalui pendekatan baca, faham dan amal.

"Apabila kita bercakap mengenai al-Quran, ia tidak terlepas dengan merujuk kepada hadis," katanya ketika berkunjung ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor baru-baru ini.

Ketika sesi kunjungan tersebut, Marhaini turut berkongsi misi kempen Uninstall Hatred, Reboot Malaysia & Global Harmony dengan Dekan Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM, Prof Madya Dr Shukran Abdul Rahman dan Timbalan Dekannya, Prof Madya Dr Haslina Ibrahim.

Pertemuan tersebut turut membawa harapan pihak WUIF untuk bekerjasama dengan UIAM sebagai pusat ilmu bagi melahirkan golongan pentadabbur.

Sementara itu, Shukran yang juga pensyarah di Jabatan Psikologi menyambut baik kempen berkenaan. Pada masa sama, beliau turut memperkenalkan buku Rahmatan Lil 'Alamin: Dalam Konteks Masyarakat Kontemporari yang telah dilancarkan pada 18 September 2019.

"Inisiatif tersebut penting untuk memberi pemahaman mengenai keperluan mengamalkan sifat rahmah sesama kita yang berbilang budaya, agama dan latar belakang.

"Ini juga selari dengan tema #QuranHour bertajuk Dunia Berbudi dan Penyayang dalam membina potensi diri yang berlandaskan sistem operasi dan kerangka fikir al-Quran," jelas beliau.

Ujar Shukran itu lagi, dunia perlu didiami oleh manusia yang mempunyai perasaan dan hubungan muhibbah. Sifat itu katanya, penting untuk mewujudkan keharmonian dalam masyarakat dan merapatkan perpaduan sesama individu.

"Pelbagai salah faham dan tafsiran yang menyimpang tentang konsep Rahmatan Lil 'Alamin . Oleh itu, UIAM dengan kerjasama MAIWP telah menganjurkan Seminar Antarabangsa Rahmatan Lil 'Alamin pada 19 September 2019, selain pelancaran buku Rahmatan Lil 'Alamin: Dalam Konteks Masyarakat Kontemporari," katanya.

Buku berkenaan merupakan projek penulisan sekumpulan penulis daripada ahli akademik UIAM, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kolej Profesional Baitulmal, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia diajak untuk menjayakan hari #MalaysiaHarmoni dengan menghidupkan kempen Uninstall Kebencian, Reboot #MalaysiaHarmoni pada 13 Mei ini.

Seruan itu dibuat oleh Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub semalam menerusi surat terbuka untuk mengerakkan kempen berkenaan.

Jelas Hussamuddin, kempen itu perlu diterajui daripada rakyat untuk rakyat pelbagai kaum, agama dan pelbagai warna kulit, bersatu tanpa warna, berusaha memulihkan moral dan karakter negara bangsa berasaskan nilai bermula dengan diri sendiri, keluarga dan juga komuniti.