X

Kindly register in order to view this article
!

1,070 asnaf di Melaka tak miskin lagi

Adly Zahari
A
A

MELAKA - Seramai 1,070 penerima zakat terdiri daripada asnaf di Melaka berjaya keluar daripada paras garis kemiskinan tahun lepas selepas menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, kejayaan itu hasil beberapa inisiatif yang dijalankan kerajaan negeri dalam memastikan penerima zakat tidak terus dibelenggu kemiskinan sekali gus berjaya membantu penerima untuk lebih berdikari dalam memperoleh sumber pendapatan sendiri.

"Antara usaha yang dilakukan termasuk kerjasama sinergi sosial bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), pemurnian had kifayah, bantuan niaga asnaf dan jalinan kerjasama bersama 22 rakan strategik berkonsepkan ‘mentor mentee’.

"Selain itu, kita juga telah mewujudkan hub pengeluaran produk usahawan harapan dengan kerjasama Persatuan Komuniti Usahawan Asnaf Negeri Melaka," katanya pada sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka, di sini hari ini.

Beliau berkata bilangan penerima zakat tahun lepas meningkat kepada 8,521 orang berbanding 2018 iaitu sebanyak 8,366 orang dan tahun ini pihaknya menyasarkan pengurangan 10 hingga 20 peratus penerima zakat daripada MAIM berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan.

Adly yang juga Pengerusi MAIM berkata jumlah perbelanjaan zakat bagi tahun lepas adalah sebanyak RM106.21 juta, meningkat sebanyak RM8.55 juta berbanding RM97.66 juta pada 2018.- Bernama