Melaka tak halang aktiviti luar bilik darjah

Melaka tidak menghalang pelajar melakukan sebarang aktiviti di luar bilik darjah pada ketika ini. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
Melaka tidak menghalang pelajar melakukan sebarang aktiviti di luar bilik darjah pada ketika ini. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri tidak menghalang pelajar melakukan sebarang aktiviti di luar bilik darjah pada ketika ini berikutan cuaca waktu siang dan purata suhu dicatatkan di Melaka adalah kira-kira 31 darjah celsius dalam tempoh beberapa hari ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, bagaimanapun, larangan aktiviti di luar darjah atau penutupan sekolah akan dikuatkuasakan apabila cuaca panas dan suhu mencecah 35 darjah celsius atau meningkat kepada 37 darjah celsius selama tiga hari berturut-turut.

"Untuk makluman, di Melaka boleh dikatakan setiap hari cuaca mengalami hujan pada sebelah petang dan secara purata suhu direkodkan ialah 31 darjah celsius.

"Ini bermakna kita melihat tiada keperluan menutup sekolah atau melarang apa-apa aktiviti di luar bilik darjah pada ketika ini, namun ia bergantung kepada arahan pengetua atau guru besar untuk mempertimbangkannya demi kesihatan dan keselamatan pelajar kerana garis panduan telah ada," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dalam pada itu, Rahmad berkata, pelajar sekolah juga dibolehkan memakai pakaian sukan pada ketika ini selain menyarankan kepada semua pelajar untuk minum air mencukupi dan mengurangkan aktiviti luar dalam keadaan peningkatan suhu bagi mengelak risiko strok haba.

Beliau turut mengesyorkan semua pelajar di negeri itu untuk memakai pelitup muka bagi mengelakkan penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar sekolah berikutan terdapat peningkatan kes sebelum ini. - Bernama