Usah kongsi hantaran tanpa semak kesahihan

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Segelintir pengguna sering berkongsi hantaran di aplikasi media sosial seperti WhatsApp tanpa memeriksa kesahihan maklumat terutama melibatkan isu berkaitan 3R (agama, raja, kaum).

Penjawat awam, Mohd Aiman Mat Udin, 28, berkata, berdasarkan pengalamannya, kebanyakan perkongsian maklumat atau hantaran daripada pelbagai platform media sosial sering dikongsi dalam kumpulan WhatsApp tanpa diperiksa kesahihan sumbernya dan menimbulkan perasaan kurang selesa.

“Hantaran berkaitan 3R semakin rancak dilakukan selepas beberapa isu perkauman cuba diwujudkan oleh sesetengah pihak baru-baru ini.

"Kebanyakan maklumat daripada media sosial sering dikongsi dan disebarkan oleh mereka yang mudah mempercayai sesuatu perkara tanpa menyemak kembali fakta sebenar.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya dilakukan lebih-lebih lagi mereka sudah mempunyai keluarga dan perlu menunjukkan contoh yang baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, pesawah, Azman Md Yusof, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang terhadap tuduhan membuat kenyataan menghasut menerusi aplikasi WhatsApp.

Mengikut kertas pertuduhan, Azman didakwa telah menerbitkan hantaran menghasut menerusi satu kumpulan WhatsApp ‘Khariah Pmtg Sungai Dua’.

Lelaki terbabit telah membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Noor Aini Yusof selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menurut pelajar, Leong Hymm, 24, walaupun teknologi maklumat dan komunikasi semakin canggih, namun pengguna pada hari ini sering menyalahgunakan platform tersebut dengan menyebarkan video atau tulisan berunsurkan fitnah.

Tambahnya, tindakan tersebut bukan sahaja mengeruhkan keadaan malah menjurus kepada permusuhan antara kaum.

“Kerajaan perlu mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang suka berkongsi hantaran bermotifkan kebencian sehingga mengganggu keharmonian kaum,” ujarnya.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Umi Fakhira Azian, 26, berkata, penyebaran maklumat tidak benar berpotensi mengganggu emosi dan mental masyarakat.

“Penyebaran maklumat palsu mengganggu kesihatan individu apabila terdapat pihak yang cuba melakukan provokasi sehingga menakutkan orang awam,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!