KBS nafi tuduhan beri kontrak kepada syarikat barangan sukan

Kementerian Belia dan Sukan (KBS)
Kementerian Belia dan Sukan (KBS)
A
A
A
SHAH ALAM - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menolak dakwaan mengaitkan kementerian itu kononnya mempunyai urusan terkini dengan sebuah syarikat membekal barangan sukan susulan penahanan 17 individu termasuk seorang dipercayai pemilik syarikat berkenaan di Puchong baru-baru ini.

KBS dalam satu kenyataan memberitahu, di bawah pentadbiran kerajaan baharu tiada sebarang kontrak diberikan kepada syarikat tersebut oleh pihaknya.

"Proses pemilihan syarikat di dalam urusan perolehan bekalan dan perkhidmatan di kementerian ini dilaksanakan mengikut tatacara perolehan bekalan atau perkhidmatan sejajar dengan Arahan Perbendaharaan oleh Kementerian Kewangan yang dikuatkuasakan.

"Di bawah kepimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Menteri Belia dan Sukan, tiada penyelewengan dan salahguna kuasa berhubung dengan tatacara perolehan bekalan dan perkhidmatan di kementerian ini," katanya.

Menurut kenyataan itu, KBS sentiasa terbuka dan menyerahkan urusan siasatan dijalankan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pihak berkuasa lain yang bertanggungjawab.
Artikel Berkaitan:


Dalam serbuan pada Ahad lalu, antara 17 individu ditahan adalah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor serta pegawai khas beberapa menteri termasuk seorang individu yang dikatakan pemilik sebuah syarikat yang membekalkan peralatan sukan kepada KBS.