Korban diri demi anak-anak sindrom Down

DR NEVILLE
DR NEVILLE
A
A
A

SHAH ALAM - Apabila menyebut nama, Dr Neville Anthony Fernandez, 78, sudah pastinya sebilangan masyarakat khususnya para aktivis mengetahui jasanya dalam memperjuangkan nasib kanak-kanak sindrom Down di negara ini.

Tidak pernah kenal erti penat dan lelah, beliau selama beberapa dekad telah menabur bakti membantu golongan kanak-kanak istimewa itu dengan mengasaskan Pusat Kiwanis Care di Kuala Lumpur meskipun ia telah menuntut pengorbanan besar dirinya dari segi masa, tenaga serta wang ringgit.

Berkongsi pengalamannya bersama Sinar Harian ketika ditemui baru-baru ini, Dr Neville menceritakan usahanya membantu kebajikan kanak-kanak sindrom Down bermula ketika beliau masih berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sibu, Sarawak pada tahun 1981.

“Ketika itu, saya dapati ramai kanak- kanak sindrom Down tidak dibenarkan bersekolah disebabkan keadaan fizikal mereka.

“Bagaimanapun, seperti mereka yang normal, anak-anak sindrom Down juga perlu diberi peluang untuk belajar. Maka, bermula dari itulah saya nekad membantu anak-anak ini mencapai potensi maksimum mereka,” katanya.

Usaha mebantu kanak-kanak sindrom Down perlu ditingkatkan lagi dengan kerjasama daripada semua pihak - Dr Neville.
Usaha mebantu kanak-kanak sindrom Down perlu ditingkatkan lagi dengan kerjasama daripada semua pihak - Dr Neville.

Menurutnya, beliau tidak pernah terbayang untuk dipilih menerima apa-apa anugerah atau pengiktirafan.

Bagaimanapun, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI) di atas Anugerah MyHero 4.0 dan berharap usaha menjaga kebajikan kanak-kanak sindrom Down dapat tingkatkan lagi dengan kerjasama semua pihak.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Kebangsaan KLSCCCI, Datuk Richard Lau Chi Chiang berkata, Anugerah MyHero 4.0 bukan hanya untuk menghargai jasa individu berkenaan semata-mata.

Sebaliknya, ia turut mengajak seluruh masyarakat daripada pelbagai kaum mengiktiraf serta menghargai sumbangan mereka yang dianggap sebagai ‘wira tidak didendang’.