KDNFC, CHS Football Korea meterai kerjasama pembangunan bola sepak

Rozi (kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan Jin Young untuk saling membantu meningkatkan bola sepak Kelantan.
Rozi (kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan Jin Young untuk saling membantu meningkatkan bola sepak Kelantan.
A
A
A

KELANTAN Darul Naim FC (KDNFC) pada Isnin memeterai satu perjanjian kerjasama dengan sebuah syarikat dari Korea Selatan, CHS Football Korea bagi pembangunan bola sepak di negeri ini.

KDNFC diwakili Presidennya, Rozi Muhamad manakala CHS Football Korea oleh pemiliknya, Son Jin Young.

Rozi memberitahu, kerjasama itu secara tidak langsung bakal memberi peluang lebih luas kepada KDNFC untuk memperkenalkan lagi jenama kelab sehingga ke negara Pahlawan Taeguk itu.

"Perjanjian ini meliputi banyak perkara terutama usaha membangunkan program pembangunan bola sepak sehingga ke peringkat akar umbi," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Beliau memberitahu, antara intipati penting perjanjian kedua-dua pihak ialah pertukaran pemain skuad bawah 20 dan 23 tahun bertujuan mengembangkan bakat muda sehingga ke Korea Selatan.

"Kita turut memanfaatkan perkongsian latihan dan meningkatkan ilmu kejurulatihan," katanya.

Perjanjian itu dimeterai di Pejabat Urusan Kelab di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, petang Isnin.

CHS Football Korea merupakan sebuah syarikat dari Korea Selatan yang memiliki kelab yang bersaing dalam K4 League, iaitu FC Sejong.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jin Young juga positif dengan kerjasama tersebut dan yakin ia dapat memberikan banyak manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Mewakili CHS Football Korea, saya gembira dapat bekerjasama seterusnya meluaskan lagi jalinan dalam pembangunan akar umbi bagi kedua belah pihak” ujarnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!