Selangor sasar kutip RM8.7 juta bantu tiga projek pembangunan di Gaza

Borhan (depan lima dari kiri) dan Mohammad Redzuan (depan enam dari kiri) pada Perhimpunan Solidariti Universiti Selangor (Unisel) Terhadap Gaza di Dewan Canselor, Unisel Kampus Bestari Jaya di sini pada Isnin.
Borhan (depan lima dari kiri) dan Mohammad Redzuan (depan enam dari kiri) pada Perhimpunan Solidariti Universiti Selangor (Unisel) Terhadap Gaza di Dewan Canselor, Unisel Kampus Bestari Jaya di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor menyasarkan mengutip sebanyak RM8.7 juta membabitkan tiga projek pembangunan di atas tanah wakaf di Gaza.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah berkata, kerajaan negeri pada ketika ini berjaya mengumpul sebanyak RM3 juta dalam Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza yang dilancarkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Mac lalu.

"Jumlah ini belum mencukupi kerana masih memerlukan kira-kira RM5.7 juta lagi daripada sasaran sebenar untuk kita membantu pembangunan bagi tiga projek berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Perhimpunan Solidariti Universiti Selangor (Unisel) Terhadap Gaza di Dewan Canselor, Unisel Kampus Bestari Jaya di sini pada Isnin.

Kira-kira 1,000 penuntut Unisel hadir bagi menyatakan solidariti terhadap serangan Israel terhadap Palestin.

Borhan memberitahu, sebanyak tiga projek pembangunan dirancang dibangunkan di Gaza iaitu membina satu blok Apartment Darul Ehsan, Masjid Darul Ehsan dan Menara Tangki Air Darul Ehsan.

Sebahagian penuntut yang menyertai Perhimpunan Solidariti Universiti Selangor (Unisel) Terhadap Gaza di Dewan Canselor, Unisel Kampus Bestari Jaya di sini pada Isnin.
Sebahagian penuntut yang menyertai Perhimpunan Solidariti Universiti Selangor (Unisel) Terhadap Gaza di Dewan Canselor, Unisel Kampus Bestari Jaya di sini pada Isnin.

Jelas beliau, menariknya projek pembangunan masjid di Gaza itu menghampiri seni bina masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, di Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

"Masjid di Gaza yang dibina nanti mengambil kira model masjid negeri, tetapi konsep pembinaannya nanti lebih kecil.

"Apabila masjid di Gaza siap nanti, ia secara tidak langsung menunjukkan identiti negeri Selangor," tambah beliau.

Bagaimanapun, katanya, keluasan tiga projek pembangunan itu masih belum dikenal pasti dan kemungkinan ia dibina di kawasan masjid yang telah musnah akibat serangan tentera Zionis.

Sehubungan itu, katanya, rakyat di negeri ini digalakkan untuk menyalurkan sumbangan bagi membantu dana yang diperlukan untuk disalurkan kepada penduduk Gaza.

"Orang ramai khususnya umat Islam boleh menyumbang ke Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza di bawah kerajaan negeri Selangor.

"Segala maklumat berkaitan tabung ini, rakyat boleh melayari portal kerajaan negeri Selangor bagi memastikan projek pembangunan ini dapat dilaksanakan di Gaza," tambahnya.

Mengulas mengenai perhimpunan itu, Borhan berkata, program itu menunjukkan solidariti penuntut universiti bukan sahaja di Unisel tetapi di seluruh negara.

Sementara itu, Presiden dan Naib Canselor UNISEL Professor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, perhimpunan itu merupakan siri kedua diadakan sebaik meletusnya peperangan di Gaza.

Jelas beliau, Unisel menggalakkan setiap penuntut dan pensyarah mengadakan program kesedaran di fakulti dan jabatan masing-masing.

"Ini menunjukkan Unisel prihatin dan perhimpunan satu protes terhadap keganasan yang berlaku di Gaza dan mengecam pemimpin dunia yang sekadar melihat dan membiarkan penindasan terus bermaharajalela.

"Ini juga sebahagian daripada kesedaran dan perkembangan yang berlaku pada waktu ini yang mana Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) secara terbuka menyatakan simpati dan sokongan kepada rakyat Palestin," tambah beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!