KBS teliti mendalam penganjuran Sukan SEA 2027

Hannah (kanan) ditemui media selepas melancarkan 'Play True Day' di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Isnin. Foto Bernama
Hannah (kanan) ditemui media selepas melancarkan 'Play True Day' di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memerlukan lebih banyak maklumat termasuk impak kewangan sebelum memberi lampu hijau untuk Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, kajian yang lebih mendalam diperlukan sebelum perkara tersebut dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk mendapatkan kelulusan.

Justeru beliau akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Selasa selain bakal berbincang dengan pemegang taruh termasuk sektor korporat untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci.

"Kabinet telah minta KBS untuk dapatkan lebih banyak maklumat mengenai penganjuran Sukan SEA 2027 dan kita telah mengadakan satu mesyuarat awal dengan MSN (Majlis Sukan Negara).

"Esok (Selasa) saya akan jumpa MOM untuk berbincang dan buat kajian untuk tengok (kesan) kalau kita anjur apa kos (impak kewangan) yang akan terlibat.

"Kita tunggu KBS buat kajian dulu. Sekarang bagi Jemaah Menteri semua kertas yang kita bawa, Kementerian Kewangan nak pastikan kita betul-betuk buat kajian kesan kewangan.

"Kita tak nak apabila dibentang kata kita anjur kemudian dua hingga tiga tahun akan datang, kata duit tak cukup, minta tambah, kita tak boleh ada perkara sebegini," katanya.

Beliau ditemui media selepas melancarkan Play True Day dan sesi ramah mesra menteri bersama warga KBS serta pemegang taruh utama di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Hannah menjelaskan Kabinet juga telah mengarahkan agar KBS memaklumkan kepada semua Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) untuk mendapatkan kelulusan pihaknya sebelum membuat bidaan untuk menganjurkan kejohanan atau temasya sukan.

Beliau menegaskan langkah tersebut untuk memastikan sebelum penganjuran sesuatu kejohanan agar dibuat kajian impak kewangan kerana ia melibatkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

"Perdana menteri mahu setiap kementerian bertanggungjawab terhadap bajet mereka. Sebelum anjur sesuatu kejohanan atau pergi bida, pastikan dapat kelulusan KBS dahulu.

"Ada yang pergi bida tanpa dapat kelulusan nanti imej negara mungkin terjejas. Walaupun mereka kata, kita tak perlukan duit kerajaan, tapi kalau program yang besar dibuat dengan cukup sederhana, nanti orang akan kata macam-macam mengenai Malaysia.

"Jadi kita pastikan sebelum nak beri komitmen, kita nak pastikan ada kajian kesan terhadap kewangan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!