11 kambing dibaham harimau kumbang

Faizal menunjukkan bangkai kambing miliknya yang dibaham harimau kumbang.
Faizal menunjukkan bangkai kambing miliknya yang dibaham harimau kumbang.
A
A
A

LIPIS - Seorang penternak terpaksa berputih mata selepas 11 ekor kambing miliknya mati dipercayai dibaham harimau kumbang dalam beberapa siri kejadian pada tahun ini.

Faizal Mohd Madzir, 57, dari Kampung Budu, Benta di sini mendakwa telah mengalami kerugian lebih RM10,000 akibat serangan haiwan liar tersebut.

Menurutnya, kejadian terbaharu pada Khamis lalu menyebabkan tiga kambing miliknya menjadi korban.

Antara bangkai kambing yang menjadi mangsa haiwan liar terbabit.
Antara bangkai kambing yang menjadi mangsa haiwan liar terbabit.

"Sebelum ini, pada Selasa lalu, dua ekor kambing saya turut menjadi sasaran.

"Saya mengesyaki serangan daripada harimau kumbang selepas melihat kesan gigitan dan cakaran pada bangkai haiwan ternakan," katanya pada Isnin.

Ujarnya, kelibat haiwan liar itu pernah dilihat di kawasan kandang kira-kira jam 6 petang Ahad lalu.

"Masa itu saya nak iring lembu masuk ke kandang sebelum terlihat harimau kumbang bersaiz agak besar berhampiran dengan pagar kandang kambing.

Artikel Berkaitan:

"Saya terus bergegas lari ke kereta untuk mengambil senapang namun apabila naik semula ke kandang saya dapati haiwan itu telah hilang," jelasnya.

Ujar Faizal, sepanjang bergelar penternak sejak 20 tahun lalu, hanya tahun ini dia berdepan dengan ancaman haiwan liar terbabit.

Gusar dengan situasi tersebut, dia telah membuat laporan kepada pihak berkuasa dan berharap ancaman itu dapat diatasi segera.

Faizal menunjukkan perangkap yang dipasang untuk menangkap harimau kumbang terbabit.
Faizal menunjukkan perangkap yang dipasang untuk menangkap harimau kumbang terbabit.

"Setakat ini, saya telah melakukan kawalan dan berjaga-jaga di kawasan kandang setiap malam sejak beberapa hari lalu.

"Walaupun kini hanya tinggal 10 ekor kambing sahaja, saya reda dan terima ia sebagai ujian dari ALLAH," tambahnya lagi.

Sementara itu, Penghulu Mukim Budu, Mohd Sofi Hamzah memberitahu laporan mengenai kejadian itu telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Jelas beliau, perangkap telah dipasang beberapa hari lalu dan penduduk kampung dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan tidak membuat tindakan sendiri memandangkan ia melibatkan binatang buas.

"Kejadian ini juga bukanlah kali pertama berlaku kerana kawasan ini terletak berhampiran Bukit Raya yang juga kawasan hutan tebal," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!