Koperal didakwa terima suapan bawa masuk tembakau dalam lokap

Muhamad Alif (kiri) ketika keluar dari mahkamah pada Isnin.
Muhamad Alif (kiri) ketika keluar dari mahkamah pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas dua pertuduhan menerima wang suapan berjumlah RM1,450 sebagai balasan membawa masuk barang terlarang ke dalam lokap pada tahun 2021.

Tertuduh, Muhamad Alif Abdul Jamal, 33, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman selepas pertuduhan pertama dibacakan jurubahasa.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhamad Alif yang ketika itu bertugas di Balai Polis Chukai telah memperoleh wang suapan berjumlah RM1,000 daripada Jainah Mohamed Abdullah untuk membawa masuk barang terlarang iaitu tembakau ke dalam lokap balai polis berkenaan kepada Mohd Firdaus Mohd Zahid.

Tertuduh didakwa berbuat demikian di lokap Balai Polis Chukai, Kemaman pada 17 April 2021.

Sehubungan itu, Muhamad Alif dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama iaitu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua pula, Muhamad Alif telah memperoleh wang suapan berjumlah RM450 daripada Jainah Mohamed Abdullah untuk membawa masuk barang terlarang iaitu tembakau ke dalam lokap balai polis berkenaan kepada Mohd Firdaus Mohd Zahid.

Tertuduh didakwa berbuat demikian di lokap Balai Polis Chukai, Kemaman pada 30 November 2021.

Sehubungan itu, Muhamad Alif dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama iaitu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mariah Omar dan Pegawai Pendakwa Nur Raihan Mohd Yusof manakala tertuduh diwakili peguam, Masliela Ismail.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Mariah mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Masliela merayu supaya anak guamnya dapat diberi kadar ikat jamin yang lebih munasabah memandangkan dia perlu menyara ibu bapanya yang tidak sihat.

"Anak guam saya menjaga ibunya yang mempunyai sakit jantung manakala bapanya pula menghidap strok. Jadi dia perlu menanggung kos rawatan ibu bapanya," ujarnya.

Selepas mendengar permohonan, Hakim Mohd Azhar memberi jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi pendakwaan selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tertuduh perlu melapor diri di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 5 Jun depan untuk pengurusan kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!