Pesawah rugi RM1 juta akibat kemarau

Mahfuz (tengah) meninjau keadaan sawah padi yang kering di Mukim Derang hari ini.
Mahfuz (tengah) meninjau keadaan sawah padi yang kering di Mukim Derang hari ini.
A
A
A

POKOK SENA - Kira-kira 72 hektar sawah padi di Mukim Derang rosak hingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM1 juta kepada golongan akibat kemarau yang sedang melanda ketika ini.

Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena, Azami Syawal, 55 berkata, seramai 35 petani mengalami kerugian selepas sawah padi mereka kering-kontang sejak hujung Disember lalu.

Menurutnya, akibat musim kemarau yang datang lebih awal, air di dalam parit kering dan tidak dapat dialirkan ke dalam petak sawah padi milik petani.

"Kami bergantung sepenuhnya kepada air hujan untuk tanam padi ini. Tetapi tahun ini kemarau datang awal. Kebiasaannya musim kemarau pada bulan Februari," katanya.

Azami yang juga bekerja sebagai petani sejak 30 tahun lalu berkata, 15 hektar padi yang diusahakannya rosak dan beliau mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.

Azami (kanan) menunjukkan keadaan sawah padi yang kering kontang kepada Mahfuz di Mukim Derang hari ini.
Azami (kanan) menunjukkan keadaan sawah padi yang kering kontang kepada Mahfuz di Mukim Derang hari ini.

"Setiap musim, kawasan ini menghasilkan kira-kira 700 tan padi dan merupakan penyumbang utama di daerah Pokok Sena," katanya.

Seorang lagi petani, Syukor Arip, 46 mengalami nasib sama akibat kemarau yang dianggapnya luar biasa pada kali ini.

Artikel Berkaitan:

"Nampaknya saya perlu berhutang musim akan datang. Pening saya memikirkan perkara ini dan berharap kerajaan dapat membantu kami yang mengalami kerugian,"katanya.

Nasib yang menimpa pesawah-pesawah itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang turun meninjau keadaan sawah padi dan mengadakan majlis dialog dengan mereka di Pejabat Penghulu Mukim Derang, dekat sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan bakal mempertimbangkan ganti rugi kepada pesawah yang terjejas akibat musim kemarau.

"Kita juga minta Jabatan Pertanian agar membuat bancian berapa keluasan sawah dan petani yang terjejas supaya jumlah kerugian sebenar dapat diketahui.

"Penyelesaian jangka masa panjang juga perlu dilakukan dan kita akan minta Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membuat saluran terus dari Sungai Bukit Pinang ke dalam sawah petani di sini," katanya.