Himpun Proton Limousine Malaysia rai anak yatim sambut Aidilfitri

Sebahagian pemilik Proton Limousine Malaysia meraikan sambutan Aidilfitri bersama anak yatim di salah sebuah rumah pemilik kereta itu di Batu 12, Tok Muda, Kapar di sini pada Sabtu.
Sebahagian pemilik Proton Limousine Malaysia meraikan sambutan Aidilfitri bersama anak yatim di salah sebuah rumah pemilik kereta itu di Batu 12, Tok Muda, Kapar di sini pada Sabtu.
A
A
A

KLANG - Proton Limousine Malaysia menampilkan kelainan apabila meraikan sambutan Aidilfitri bersama 24 anak yatim di sebuah kediaman pemilik kereta itu di Batu 12, Tok Muda, Kapar di sini pada Sabtu.

Pentadbir Proton Limousine Malaysia, Mohd Ramlan Masron, 70, berkata, sebanyak 16 kereta kebanggaan Malaysia suatu ketika dulu berkumpul pada majlis yang julung kali diadakan.

Menurut Mohd Ramlan, uniknya Aidilfitri kali ini, apabila rata-rata anak yatim teruja dan gembira kerana tidak pernah melihat Proton Limousine yang mula diperkenalkan pada awal 90-an.

"Mereka (anak-anak yatim) mengakui berbangga apabila negara suatu ketika dulu pernah meneroka bidang mengubah suai Proton Saga biasa menjadi versi lebih panjang dan mewah.

"Jelas terpancar keseronokan dan kegembiraan mereka apabila berpeluang untuk masuk dan melihat sendiri keadaan di dalam Proton Limousine yang luas serta selesa," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mohd Ramlan memberitahu, pada masa ini, harga Proton Limousine berbeza dan bergantung kepada kondisi kenderaan yang mempunyai kepanjangan dari 4.8 hingga 5.5 meter.

"Harganya masih mahal di pasaran tempatan dan saya menjangkakan ada Proton Limousine Eksekutif dijual pada harga RM60,000," tambahnya.

Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri itu, Mohd Ramlan memberitahu, kebiasaannya pemilik Proton Limousine menganjurkan konvoi beramai-ramai dan mengikuti pameran kereta.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, Aidilfitri lebih indah jika mereka turut serta memberi sumbangan bagi meringankan beban anak yatim.

Jelasnya, Proton Limousine dengan kerjasama Masjid Badariah Kampung Batu 12, Tok Muda Kapar meraikan anak yatim sekitar kariah berkenaan.

"Kita berharap program kebajikan ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan ini juga usaha kami untuk mempromosikan Proton Limousine yang ketika ini mungkin semakin berkurangan di atas jalan raya.

"Kita hendak beritahu kepada generasi muda bahawa negara juga mampu menandingi kereta keluaran antarabangsa," tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!