Oday rindu keluarga, sambutan Aidilfitri di Palestin

Oday Kharoub. Foto KDNFC
Oday Kharoub. Foto KDNFC
A
A
A

KAPTEN Kelantan Darul Naim FC (KDNFC), Oday Kharoub yang buat pertama kali bersama isteri dan dua anaknya menyambut Aidilfitri di luar bumi Palestin, ternyata amat rindu dan bimbang dengan keadaan di tanah airnya, yang sedang bergelut dengan serangan tentera Israel.

Menerusi penterjemah, Oday berkata, beliau rindukan suasana sambutan hari raya bersama kedua-dua orang tuanya, terutamanya ketika berkumpul beramai-ramai bersama sanak saudara selepas menunaikan solat hari raya bersama.

“Tahun ini saya hanya membuat panggilan telefon kepada kedua-dua orang tua saya di pagi Syawal untuk melepaskan rindu kerana sepanjang bulan Ramadan saya menjalani latihan di Kelantan.

“Saya juga merindui juadah makanan tradisional Palestin seperti kaaf, mamol, feseekh yang selalu disajikan di pagi raya,” katanya baru-baru ini.

Mengulas lanjut pemain tengah kebangsaan Pelestin itu berkata, kebiasaannya pagi Syawal beliau akan berkumpul dan menikmati makanan sebelum mengunjungi rakan dan saudara lain.

Oday seterusnya mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakan sepasukan yang bermurah hati turut sama berkongsi kegembiraan menyambut hari raya di sini bersama, yang menurutnya sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduannya.

“Sambutan Aidilfitri di negara saya sangat susah di sebabkan peperangan malah tahun ini lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: