Liga Parlimen Al-Quds: Malaysia kongsi pengalaman pertahan Palestin

Syed Ibrahim berkata, antara yang dikongsikan pada persidangan itu termasuk sikap Malaysia yang sentiasa tegas dalam isu Palestin. - Foto Astro AWANI
Syed Ibrahim berkata, antara yang dikongsikan pada persidangan itu termasuk sikap Malaysia yang sentiasa tegas dalam isu Palestin. - Foto Astro AWANI
A
A
A

ISTANBUL - Delegasi Malaysia akan berkongsikan peranan negara dalam usaha berterusan mempertahankan nasib Palestin pada Persidangan Kelima Liga Parlimen Al-Quds yang berlangsung di Istanbul, Turki pada Sabtu.

Ketua Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, antara yang dikongsikan termasuk sikap Malaysia yang sentiasa tegas dalam isu Palestin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang memaklumkan dalam ucaptamanya juga akan dikongsikan aktiviti-aktiviti yang dilakukan Kaukus Palestin Parlimen Malaysia.

"Saya akan sentuh tentang beberapa perkara utama yang pertama berkenaan dengan sikap Malaysia terhadap nasib warga Palestin, Malaysia sangat tegas tentang isu melibatkan Palestin.

Pada masa sama, saya juga membawa isu-isu yang mengkhususkan tentang peperangan dan juga bantuan kemanusiaan.

"Seterusnya saya akan kongsikan juga berkenaan dengan aktiviti yang dilakukan Kokus Palestin Parlimen Malaysia tentang apa tindakan yang telah kita laksanakan dalam usaha berterusan ini,” katanya.

Syed Ibrahim berkata demikian sebelum menyampaikan ucaptama Persidangan Ke-5 Liga Parlimen Al-Quds yang berlangsung di sini pada Sabtu.

Mengangkat tema Pembebasan dan Kemerdekaan untuk Palestin, persidangan ini telah dirasmikan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Ia melibatkan 600 ahli parlimen daripada 75 negara merentasi benua Asia, Eropah, Amerika Latin dan Afrika.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, penglibatan negara bukan Islam dalam persidangan ini adalah dialu-alukan.

Ia bagi memberi isyarat jelas kepada rejim Zionis Israel dan sekutunya bahawa dunia kini sudah memahami kezaliman dan penindasan berterusan yang dilakukan kepada penduduk di Palestin khususnya di Gaza.

"Kita lihat dalam persidangan hari ini lebih separuh sebenarnya adalah daripada kalangan negara bukan Islam tapi suara mereka belum kedengaran sangat lagi.

Jadi saya jangkakan kita nak juga tunjukkan supaya ada pelan tindakan untuk kita bawa negara-negara ini bersama, jadi mesti ada organisasi payung yang besar yang bukan hanya mewakili negara Islam tetapi daripada rakyat dan juga negara bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata terdapat sokongan daripada luar sekarang terutamanya dalam kalangan mahasiswa di Amerika Syarikat dan Eropah yang sudah bangkit dan sepatutnya masyarakat Islam memanfaatkan sokongan itu menjadikannya sebagai sokongan padu untuk perjuangan rakyat Palestin.

Pada persidangan kali ini, delegasi Malaysia turut diwakili dua ahli Kaukus Palestin Parlimen Malaysia iaitu, Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!