Siasatan nahas helikopter libatkan banyak aspek - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri (tengah) bersama isteri, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman ketika hadir pada persidangan DUN di Wisma Darul Iman pada Rabu.
Ahmad Samsuri (tengah) bersama isteri, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman ketika hadir pada persidangan DUN di Wisma Darul Iman pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Siasatan terhadap insiden pelanggaran dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak pada Selasa melibatkan banyak aspek.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga pakar dalam bidang aeroangkasa berkata, beliau yakin Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TLDM mempunyai kepakaran bagi mengenal pasti punca nahas yang meragut nyawa 10 pegawai dan anggota pasukan keselamatan itu.

Menurutnya, terdapat banyak kemungkinan yang akan dipertimbangkan dan diteliti sebelum satu keputusan diambil berhubung kejadian menyayat hati itu.

"Dari segi siasatan pihak tentera mempunyai kepakaran mereka tersendiri, banyak perkara yang mungkin akan dilihat oleh mereka terutama dari segi kawalan helikopter sama ada di luar kawalan atau masih lagi dalam kawalan, termasuklah formasi yang cuba dibuat pada hari itu.

"Adakah sedang berlaku formasi atau belum lagi dan macam-macam perkara yang saya rasa dalam pertimbangan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, beliau bersedia menyumbang kepakaran dan pandangan bagi membantu siasatan sekiranya diperlukan.

"Sebagai rakyat awam, sesiapa sahaja akan membantu sekiranya ditanya," katanya yang merupakan bekas Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pada Selasa, negara dikejutkan dengan insiden dua helikopter terhempas ketika sedang menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Artikel Berkaitan:

Nahas berlaku sekitar jam 9.32 pagi itu mengorbankan 10 mangsa, masing-masing tujuh kru dan tiga penumpang dua helikopter jenis HOM-AW139 dan Fennec yang berlepas dari Padang Sitiawan, Perak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!