'Hari yang amat menyedihkan buat kita semua' - MB Perak

Saarani mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga wira-wira TLDM yang terlibat dalam tragedi kemalangan helikopter pada Selasa.
Saarani mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga wira-wira TLDM yang terlibat dalam tragedi kemalangan helikopter pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menzahirkan rasa sedih atas insiden dua helikopter terhempas yang mengorbankan 10 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Lumut pada Selasa.

Menerusi hantaran di Facebook, Saarani turut mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga wira-wira TLDM yang terlibat dalam tragedi kemalangan helikopter itu.

"Hari yang amat menyedihkan buat kita semua. Ya ALLAH Azza Wa Jalla, Kau ampunkanlah dosa mereka, Kau angkatkanlah darjat mereka ke tahap yang tertinggi, sesuai dengan pengorbanan tinggi yang mereka curahkan buat agama, bangsa dan negara.

"Doakan semoga keluarga-keluarga wirawan kita dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat-saat getir ini," katanya dalam hantaran tersebut pada Selasa.

Turut berkongsi hantaran mengenai tragedi itu, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing yang mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat.

Beliau turut menasihati semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggores perasaan ahli keluarga mangsa.

Terdahulu media melaporkan identiti 10 kru yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut telah dikenal pasti.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita merupakan anggota dari Pangkalan TLDM Lumut dan Kota Kinabalu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, semasa kejadian semua kru terlibat mengikuti sesi latihan sempena Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut melibatkan pesawat HOM (M503-3) dan Fennec.

Berdasarkan maklumat dikongsi, tujuh kru yang menaiki Pesawat HOM (M503-3) dikenal pasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, Muhammad Faisol Tamadun, Noorfarahimi Mohd Saedy, Noor Rahiza Anuar dan Joanna Felicia anak Rohna.

Tiga lagi kru menaiki Pesawat Fennec dikenali Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan T Sivasutan dan Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!