Muhammad Firdaus sempat hubungi ibu sebelum nahas

Ahli keluarga allahyarham ketika ditemui pemberita di rumah keluarganya pada Selasa.
Ahli keluarga allahyarham ketika ditemui pemberita di rumah keluarganya pada Selasa.
A
A
A

GEORGE TOWN - Komander Muhammad Firdaus Ramli yang maut dalam nahas helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut sempat menghubungi ibunya pada pagi Selasa namun tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Menurut adik ipar mangsa yang mahu dikenali sebagai Lina, 40, memang menjadi rutin Allahyarham setiap pagi menelefon ibu bagi bertanyakan khabar.

Beliau berkata, seluruh ahli keluarga masih lagi terkejut dengan insiden yang berlaku dan hanya mengetahui perkara itu melalui media sosial.

"Memang kami semua terkejut apabila dimaklumkan oleh kakak mengenai kejadian yang menimpa suaminya.

"Selepas mendapat perkhabaran sedih itu, ibu dan ayah serta beberapa ahli keluarga bertolak ke Pangkalan TLDM di Lumut bagi proses pengecaman mayat," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarga mereka di Persiaran Pantai Jerejak di sini, pada Selasa.

Lina berkata, semua ahli keluarga arwah termasuk di luar negara telah dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa abang sulung dari tujuh beradik itu.

Katanya, setakat ini tiada sebarang maklumat lanjut bila jenazah abang iparnya akan dibawa pulang ke Pulau Pinang.

"Adik beradik yang lain termasuk di luar negara dalam perjalanan pulang ke sini dan kami hanya menantikan sebarang perkembangan daripada ibu dan ayah yang berada di Lumut.

Artikel Berkaitan:

"Kami harap keluarga diberikan ruang sebaiknya kerana kami semua masih terkejut dan tidak ada apa-apa maklumat lagi," tambahnya lagi.

Pada jam 9 pagi tadi, dua helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhempas selepas bertembung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika sesi latihan sempena Hari Terbuka Armada TLDM melibatkan pesawat HOM (M503-3) dan pesawat Fennec.

Mereka yang terkorban dari HOM-AW139 dikenal pasti sebagai Kdr Muhammad Firdaus Ramli; Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; PW II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy; BM TNL Noor Rahiza Anuar (Penumpang) dan LK I JJM Joanna Felicia anak Rohna.

Dari pesawat Fennec pula dikenal pasti Kdr Muhamad Amir Mohamad; Lt T Sivasutan dan PW II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!