Pulau Pinang harap lebih banyak masjid tubuh koperasi

Mohamad (lima dari kanan) menerima cenderamata daripada Abdul Fattah selepas merasmikan Mesyuarat Agung Negeri Angkasa pada Selasa.
Mohamad (lima dari kanan) menerima cenderamata daripada Abdul Fattah selepas merasmikan Mesyuarat Agung Negeri Angkasa pada Selasa.
A
A
A

KEPALA BATAS - Kerajaan Pulau Pinang berharap lebih banyak masjid di negeri ini menubuhkan koperasi dalam meningkatkan ekonomi anak-anak kariah sekali gus merangsang pembangunan ummah.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, penubuhan koperasi di masjid bukan sahaja memberi pulangan dividen kepada anak kariah malah membolehkan masjid menambah dana dengan pelbagai aktiviti perniagaan.

Jelasnya, setakat ini hanya 30 peratus dari 215 buah masjid di negeri ini telah menubuhkan koperasi dan jumlah itu perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.

"Kita mensasarkan pertambahan kepada 50 peratus masjid di negeri ini menubuhkan koperasi dan berdaftar dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) kerana banyak manfaat yang akan diperoleh.

"Contohnya melalui koperasi boleh laksanakan perniagaan Koop Mart, ada restoran, kedai makan, pusat cucian kereta dan banyak lagi yang masjid boleh jadi ‘one stop centre’ (pusat utama).

"Pada setiap Jumaat bukan sahaja anak kariah yang datang tetapi orang yang bekerja kawasan berdekatan.

"Ini tentunya pembangunan koperasi boleh menambahkan pendapatan bukan saja ahli koperasi kariah dalam bentuk dividen umpamanya, tetapi juga menambah pendapatan masjid seterusnya boleh menggerakkan aktiviti pembangunan ummah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Merasmikan Mesyuarat Agung Negeri Angkasadi sini, pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, kerajaan negeri juga sedia bekerjasama dalam apa jua projek berkaitan koperasi yang bermatlamat meningkatkan sosioekonomi rakyat.

“Apa sahaja projek berkaitan antaranya seperti pertanian dan pelancongan, pihak kerajaan negeri melalui exco akan cuba menjadi pemudahcara dalam membantu koperasi,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!