Isteri, bayi tujuh bulan dibawa lari penjenayah

Kes samun membabitkan isteri dan anak mangsa yang tular di media sosial.
Kes samun membabitkan isteri dan anak mangsa yang tular di media sosial.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebuah keluarga termasuk bayi berusia tujuh bulan disamun dua lelaki di hadapan kedai runcit dekat Bandar Laguna Merbok jam 3.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian itu, isteri dan anak mangsa ditinggalkan di tepi jalan kira-kira dua kilometer dari lokasi disamun sebelum kenderaan mangsa dilarikan.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa yang berumur 25 tahun, seorang pengusaha kedai runcit keluar dari kereta menuju ke kedai sebelum didatangi dua suspek menaiki kereta jenis Proton Wira warna biru bernombor pendaftaran WFA 8012.

"Seorang daripada dua lelaki telah turun dan masuk ke dalam kereta mangsa jenis Honda Accord berpendaftaran PJP 9131 dan terus memecut laju bersama anak berumur 7 bulan dan isteri serta barang dalam kereta.

"Mangsa tidak dapat mengecam wajah suspek kerana kejadian berlaku pantas," katanya.

Menurut Adzli, dalam kejadian ini, isteri kepada mangsa berumur 26 tahun dan bayi mereka ditinggalkan oleh suspek di tepi Jalan Lencongan Barat berdekatan Hotel La View setelah dipaksa oleh isteri suspek.

Katanya, hasil semakan nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek disyaki palsu dan didaftarkan atas sebuah kereta lain jenis Mitsubishi.

"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai didapati CCTV tidak menghala ke arah tempat kejadian. CCTV di tempat lain akan disemak kemudian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Antara barangan hilang termasuk dokumen pengenalan diri mangsa dan anak, lesen memandu, kad ATM, wang tunai anggaran RM2,000, geran kereta dan polisi insuran Honda Accord, surat pajak gadai, kunci kedai, kunci rumah, dua telefon bimbit termasuk kereta dengan anggaran kerugian RM105,000.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis terdekat," katanya.

Kes berkenaan bagaimanapun telah menjadi tular di laman sosial setelah mendapat perhatian orang awam.